Penerbangan Malaysia (MAS) mengesahkan bahawa peguam mereka kini telah mengadakan perbincangan dengan peguam dari Amerika Syarikat yang telah dilantik oleh keluarga sesetengah kru pesawat MH370.

Dalam kenyataan media kepada Astro Awani, pada 3 Mei lalu sebuah firma guaman di Amerika Syarikat , Ribbeck Law Chartered telah secara rasminya memaklumkan kepada peguam MAS bahawa mereka telah dilantik sebagai peguam kepada sesetengah ahli keluarga kru pesawat tersebut.

Malah, mereka turut menyertakan bukti-bukti bahawa mereka telah dilantik oleh keluarga ini.

Setelah wakil peguam dilantik, etika profesional dan juga peraturan juga harus dijaga dimana segala tindakan dan kenyataan akan melalui wakil peguam ini yang telah dilantik secara rasmi.

Oleh hal demikian, perbincangan yang dilakukan itu sepakat dimana beberapa protokol telah dipersetujui dalam membolehkan syarikat penerbangan dapat meneruskan hubungan terus dengan keluarga mangsa asalkan mendapat kebenaran keluarga yang terlibat.

Malah, MAS juga akan membantu mereka dengan bantuan yang diperlukan disaat-saat keluarga mangsa itu memerlukan.

Disebabkan kini peguam telah dilantik, MAS tidak dapat untuk memberi sebarang komen berkenaan isu perundangan yang berkaitan dengan keluarga mangsa.

Syarikat penerbangan akan memaklumkan mereka berkenaan perkara yang telah dipersetujui bersama dengan peguam yang dilantik oleh ahli keluarga mangsa kehilangan pesawat MH370.

Dalam masa yang sama, MAS sekali lagi menegaskan bahawa mereka sememangnya komited untuk berkomunikasi dengan ahli keluarga dan waris penumpang dan kru pesawat MH370 yang masih gagal ditemui hingga kini.

MAS memberitahu bahawa bermula dari 7 Mei lalu iaitu selepas penutupan rasmi Pusat Bantuan Keluarga (FAC), mereka telah menghebahkan maklumat terkini kepada ahli keluarga ahli keluarga dan waris penumpang dan kru pesawat MH370 dengan usaha-usaha dan perkembangan terkini daripada Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) dan kerajaan Malaysia.

Maklumat tersebut disalurkan melalui pegawai sukarelawan yang bertugas dan juga Pusat Sokongan Keluarga (FSC).