Akur dengan kehendak rakyat dan jadi pembangkang yang baik dengan menumpukan kepada pembangunan rakyat.

Itu nasihat Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kepada pemimpin UMNO yang disifatkannya masih terkejut dengan kekalahan mereka pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

Menurutnya, UMNO perlu belajar menerima hakikat dengan kekalahan pada pilihan raya lepas dan tidak mencari isu-isu yang sensasi demi kepentingan politik.

“Saya rasa dia masih terkejut bahawa UMNO tewas pada pilihan raya lepas sebab sekarang fokus utama kita adalah untuk mentadbir dengan cekap dan terus berkhidmat kepada rakyat.

“Pilihan raya baru setahun diadakan, ada empat tahun lagi… mereka dah nak fokus kepada PRU yang baru, saya rasa kita perlu akur kepada kehendak rakyat dan kalau mereka masih terkejut dengan keputusan pilihan raya lepas, learn to move on,” kata Syed Saddiq dalam ucapannya pada Majlis Berbuka Puasa Armada Bersatu Negeri Perak di Ipoh pada Khamis.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah yang tidak menolak kemungkinan berlaku pilihan raya mengejut ketika peralihan pimpinan negara kelak.

Tambahnya, sebagai pembangkang mereka perlu fokus untuk memastikan kehendak rakyat didengari di samping sentiada mendampingi rakyat.

Tengku Razaleigh dalam kenyataannya pada Rabu berkata, UMNO dan Pas perlu mengadakan persediaan awal bagi menghadapi PRU ke-15.

Jelasnya, kerjasama UMNO dan Pas tidak bermakna jika hanya dilakukan semasa musim pilihan raya.