Kemenangan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Pilihan Raya Kecil Port Dickson memang sudah diduga ramai, namun kemenangan dengan majoriti lebih besar di luar dugaan sama sekali.

Sejak awal lagi, jumlah undi yang bakal diraih merisaukan kem Anwar dari Pakatan Harapan (PH), malah dua atau tiga hari sebelum hari pengundian, sumber rapat Anwar sendiri mengakui sekiranya Ketua Umum PKR itu tidak menang besar, ini akan mencalarkan imej Anwar sebagai tokoh politik terkemuka negara sekian lama.

Namun, majoriti yang diterima bekas timbalan perdana menteri itu sebanyak 23,560 undi, lebih besar berbanding bekas penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah yang menerima majoriti undi 17,710 menghapuskan kebimbangan Pakatan Harapan (PH) dan jangkaan penganalisis politik sebelum dan semasa berkempen selama 14 hari.

Faktor Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi Pakatan Harapan turun berkempen Isnin lepas juga tidak boleh dikesampingkan bagi menarik pengundi, sementelah mencatat sejarah pertama kali Anwar dan Dr Mahathir berada di pentas sama selepas 20 tahun tidak berbuat demikian.

Kemenangan itu jelas membuktikan bahawa Anwar bukan sahaja popular di kawasan zon selesanya iaitu Parlimen Permatang Pauh, sebaliknya turut diterima masyarakat di negeri lain khususnya Port Dickson yang menjadi kubu kuat PKR dan tidak pernah kalah di kerusi Parlimen berkenaan sejak 2008.

Justeru, bekas timbalan perdana menteri itu telah membuktikan kepada negara bahawa dirinya masih revelan dan terus mendapat kepercayaan rakyat selepas dipenjarakan dan telah menyebabkan beliau dinafikan haknya untuk mewakili rakyat di Dewan Rakyat.

Di dewan itu, Anwar akan menyertai isterinya yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail (PH-Pandan) dan anaknya Nurul Izzah (PH-Permatang Pauh).

Penganalisis politik percaya sekembalinya Anwar ke Dewan Rakyat nanti, segala agenda reformasi yang diperjuangkan beliau selama ini akan dapat dilaksanakan menerusi gandingan bersama Dr Mahathir.

"Kemenangan Anwar ini memang sudah dijangka sejak awal lagi dan isu peratusan keluar mengundi adalah nyata. Sehubungan itu, beliau perlu menggunakan mandat yang diberikan rakyat Port Dickson untuk memenuhi agenda reformasi yang diperjuangkan selama ini dengan Port Dickson menjadi tapak memulakan agenda perjuangan itu.

"Sokongan pengundi Port Dickson dengan memberikan majoriti selesa juga menjadi petanda awal bahawa mereka juga menerima Anwar untuk diangkat sebagai perdana menteri kelapan selepas Dr Mahathir dan masyarakat meletakkan kepercayaan yang cukup tinggi kepadanya untuk membawa negara ke arah yang lebih gemilang," kata Prof Dr Sivamurugan Pandian kepada Bernama di sini, pada Sabtu.

Pada PRK Parlimen Port Dickson itu, Anwar, 71, yang baru-baru ini menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR, berjaya mengalahkan enam pencabarnya iaitu calon PAS Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, bekas pembantu peribadi Anwar Mohd Saiful Bukhari Azlan, personaliti media sosial Stevie Chan Keng Leong, pakar perunding pengurusan Kan Chee Yuen, dan bekas pensyarah universiti swasta Lau Seck Yan.

Sivamurugan turut memuji keberanian Anwar memilih untuk bertanding di kawasan luar zon selesa dan kemudiannya mencipta kemenangan besar sekaligus dapat membuktikan bahawa pengaruh dan keperibadian pemimpin itu masih disanjung rakyat.

"Kemenangan ini amat bermakna buat Anwar untuk beliau memastikan dirinya dapat berganding bahu bersama Tun Dr Mahathir untuk membina semula negara demi kebaikan rakyat," katanya.

Sivamurugan berkata PRK berkenaan dilihat lebih didominasi tiga nama iaitu Anwar, Mohd Isa dan Mohd Nazari manakala empat calon Bebas yang lain dianggap hanya sebagai penyeri pilihan raya kecil itu dan sudah dijangka tidak memberi kesan.

Sementara itu, Pensyarah kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara kampus Raub, Pahang, Che Hamdan Che Mohd Razali berpandangan kemenangan Anwar sudah dijangka tetapi peratusan keluar mengundi yang rendah mungkin disebabkan rakyat sudah penat dan malas untuk mengundi selain mindset mereka bahawa Anwar akan menang.

"Bagaimanapun kemenangan Anwar ini merupakan langkah untuknya menjadi perdana menteri semakin hampir menjadi kenyataan," katanya.

-- BERNAMA