Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mendedahkan beliau menerima ratusan panggilan masuk telefon bimbit daripada pemanggil tidak dikenali, hari ini.

Hishammuddin berkata panggilan daripada nombor luar negara itu diterima sejak 6.26 pagi tadi sehinggalah beliau mengundi di Sekolah Agama Taman Sri Lambak, di sini.

BACA: Laman web parti politik, telefon calon digodam?

"Pagi tadi, apabila bangun, telefon saya 'jammed' dengan macam-macam panggilan yang saya tidak kenal pun.

"Kalau telefon saya boleh 'jammed' kerana sedemikian rupa, saya harap tidak ada unsur-unsur yang hendak buat sesuatu yang menghuru-harakan," katanya yang ditemui pemberita selepas selesai mengundi di sekolah tersebut, hari ini.

BACA: Telefon bimbit Guan Eng digodam

Hishammuddin berkata setakat ini beliau melihat panggilan telefon berkenaan tidak memberikan kesan begitu negatif terhadapnya.

"Tetapi, pengalaman saya sendiri, dari pagi sampai ke peti undi, tidak berhenti beratus nombor 'unknown' (tidak dikenali) tiga, empat nombor berulang-ulang, tetapi bila saya jawab, tidak ada (maklum balas).

"Hendak dengar juga siapa yang call (hubungi) saya dari pagi. Tapi nanti kita check (periksa)," katanya.

BACA: Najib kecam panggilan spam, arah tindakan segera diambil

Sementara itu, Hishammuddin berkata beliau melihat proses mengundi setakat ini berjalan lancar, walaupun dalam keadaan cuaca sedikit panas namun para pengundi turut bersemangat tinggi untuk menunaikan hak dan tanggungjawab masing-masing.

Terdahulu, beliau tiba di sekolah tersebut pada 9.40 pagi dengan diiringi isteri, Datin Seri Tengku Marsilla Tengku Abdullah dan calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Kahang R.Vidyananthan, yang turut mengundi di sekolah sama.

Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini menyaksikan Hishammuddin sekali lagi dicabar Penyelaras PKR Parlimen Sembrong, Onn Abu Bakar dalam pertandingan satu lawan satu.

Pertembungan antara cucu pengasas UMNO, Allahyarham Datuk Onn Jaafar itu dengan Onn yang merupakan Ketua PKR Cabang Putrajaya adalah kali kedua selepas PRU13 yang menyaksikan Hishammuddin menewaskan Onn dengan majoriti 10,631 undi.

-- BERNAMA