Barisan Nasional (BN) Johor dijangka akan membentangkan manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 14 atau 15 April ini.

Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata antara intipati manifesto itu adalah kesejahteraan ekonomi rakyat, yang turut memfokuskan kepada beberapa golongan.

Langkah itu bagi memastikan tiada satu golongan yang ketinggalan dalam janji yang dibuat BN kepada rakyat.

"Kita selain menitikberatkan ekonomi sejahtera, kita ada tajuk fokus pada kawasan Felda, orang kelainan upaya (OKU), orang muda dan wanita yang tidak ada dalam manifesto pihak ‘sebelah sana’ dalam negeri Johor,” ujar Mohamed Khaled.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas penyerahan sumbangan peruntukan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di Pasir Gudang, Johor.

Dalam masa sama, Mohammed Khaled turut menyambut baik manifesto BN yang memberikan tumpuan kepada pembangunan memperkasakan wanita.

Selain usaha menaik taraf lebuh raya utara selatan bermula dari Yong Peng hingga ke Johor Bahru dari empat lorong kepada enam lorong.