Barisan Nasional (BN) Perak masih menunggu pengesahan akhir daripada Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung calon yang akan dipertandingkan parti itu di negeri Perak pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Pengerusinya, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, pengumuman calon akan dibuat dalam masa terdekat, kemungkinan pada Selasa ini.

"Kita masih ada beberapa hari lagi di mana kami masih menunggu pengesahan akhir daripada Presiden dan kami berharap untuk mengumumkannya secepat yang mungkin," katanya pada sidang media selepas melancarkan Manifesto BN Perak di sini, hari ini.

BACA: Tujuh tekad BN Perak, melestarikan Darul Ridzuan

Selain itu, beliau memberi jaminan bahawa semua calon yang bakal dikemukakan nanti bebas daripada sebarang isu integriti dan jenayah.

Malah, kesemua calon yang disenaraikan telah melepasi saringan status muflis, tidak memiliki rekod jenayah dan bebas daripada sebarang tindakan mahkamah.

"Kita sangat teliti dalam soal kelayakan dan pemilihan calon, saya perlu ucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan kerana memberi kata putus terhadap semua calon kita," ujarnya.

Antara parti yang telah mengumumkan calon bertanding di Perak adalah Pas, DAP dan Amanah sementara PKR dijadualkan umum pada Khamis depan.