Pakatan Harapan (PH) akan memperbanyakkan siri penerangan bagi menangani strategi pembangkang, yang dilihat sengaja memutarbelitkan isu-isu tertentu dalam usaha meraih sokongan pengundi di DUN Semenyih, kata Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menteri Dalam Negeri itu berkata, mereka sudah mengenal pasti beberapa isu, antaranya tuduhan PH tidak serius dalam mempertahankan isu Melayu dan Islam serta dakwaan DAP mempunyai suara lebih dalam pakatan itu.

“Ada beberapa isu yang diputarbelitkan pembangkang, seperti isu Melayu dan Islam, seolah-olah PH tak pertahankan hak Melayu, atau ambil remeh hal Islam. Ini palsu dan tidak betul. Jadi kita ambil kesempatan terangkan isu Pas, isu BN, kepincangan waktu pentadbiran dahulu, yang saya fikir rakyat tak akan lupa.

“Ini kita akan terangkan sejelasnya. Juga kedudukan hubungan dalam PH seperti hubungan kita dengan DAP, orang bangkitkan seolah-olah DAP tak sokong perjuangan kita, ada tindakan berbeda, pandangan ini diputarbelitkan pembangkang,” katanya kepada sidang media di sini, pada Sabtu.

Selain itu, Muhyiddin berkata, isu paling pokok yang perlu diberi perhatian ialah bebanan yang dihadapi pengundi tempatan, dan rakyat negara ini secara keseluruhannya, ekoran kos sara hidup yang tinggi.

“Kos sara hidup merupakan isu pokok. Kita akan ambil kesempatan beri penjelasan yang meyakinkan, tentang apa yang PH lakukan, Di Selangor khususnya, di bawah kerajaan negeri PH, Menteri Besar Selangor (Amirudin Shari), barisan Exco negeri banyak mengadakan program prihatin bagi membela nasib rakyat, khasnya di Semenyih.

“Itu tak ambil lagi kira pertolongan yang disampaikan kerajaan pusat. Jadi kita akan jelaskan tindakan susulan yang kita ambil untuk selesaikan kos sara hidup. Seperti Jawatankuasa Kabinet akan yang dipengerusikan Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) akan bersidang tak berapa lama lagi selain mesyuarat lalu, mesyuarat akan datang untuk memperhalusi tindakan bagi meringankan bebanan,” katanya lagi.

Ditanya mengenai tindakan undang-undang yang diambil seorang pengundi Semenyih pada Sabtu bagi menghentikan PRK Semenyih, atas alasan SPR tidak berfungsi mengikut Perlembagaan Persekutuan, Muhyiddin berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada mahkamah untuk membuat keputusan.

Tetapi, jelasnya lagi, PH akan terus memperkemaskan jentera PRK mereka, serta merangka program-program bersesuaian dalam usaha mempertahankan kerusi itu, walaupun beliau mengakui, ianya bukan mudah.