Pakatan Harapan diketuai DAP kini semakin terdesak untuk mendapatkan sokongan rakyat selepas beberapa isu yang mereka bangkitkan sebelum ini gagal menggugat kerajaan Barisan Nasional (BN).

Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Ibdilillah Ishak berkata, jelajah isu saman sivil Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) anjuran Pakatan Harapan yang bermula hambar di Kepala Batas merupakan satu lagi manifestasi pakatan pembangkang sedang berada dalam keadaan yang terdesak dan ketandusan modal politik.

"Mereka tentunya tidak senang melihat usaha-usaha pengukuhan ekonomi, penyediaan prasarana yang lebih baik, kemudahan awam dan pemberian bantuan seperti dilaksanakan oleh pentadbiran kerajaan BN.

"Jika selama ini mereka melemparkan tuduhan negatif terhadap Kerajaan BN, contohnya seperti kejatuhan nilai mata wang, kini apa pula kata mereka setelah Ringgit Malaysia diiktiraf sebagai mata wang Asia paling kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat untuk sepanjang suku kedua (April-Jun) tahun ini?" soalnya ketika menghubungi Astro AWANI di sini hari ini.

BACA: Dagangan ringgit bertambah baik selepas cuti Aidilfitri

BACA: Rizab antarabangsa BNM berjumlah RM424.8 bilion pada 30 Jun

Sebelum ini dilaporkan, ringgit menyambung dagangannya selepas cuti Hari Raya Aidilfitri dengan prestasi yang lebih baik.

Ini susulan pengukuhan harga minyak mentah dunia selepas inventori minyak mentah di Amerika Syarikat didapati menyusut buat minggu ketiga berturut-turut.

Kenaikan ringgit turut dimangkin oleh penyusutan dolar Amerika, yang menyusut selepas Bank Pusat Eropah mengumumkan akan mengurangkan program rangsangan kewangannya.

Tegas Ibdilillah, di sebalik ketidaktentuan ekonomi global dan tindakan memburuk-burukkan ekonomi negara oleh pihak Pembangkang, Kerajaan BN tetap berusaha mengukuhkan ekonomi dan memberi perkhidmatan kepada rakyat secara berterusan menerusi pelbagai inisiatif yang telah dijalankan.

"Sudah menjadi resam pihak pembangkang di Malaysia yang hanya mampu melemparkan fitnah, tuduhan palsu dan kritikan tidak membina.

"Ia bertujuan semata-mata untuk mengalih pandangan umum daripada kegagalan mereka yang masih tidak mampu menyediakan cadangan dasar alternatif yang komprehensif untuk ditawarkan kepada rakyat dan perbalahan mengenai krisis calon Perdana Menteri di antara mereka," jelasnya.

Dalam satu kenyataan, Bank Negara Malaysia (BNM) memaklumkan rizab antarabangsa mereka berjumlah AS$98.9 bilion (RM424.8 bilion) sehingga pada 30 Jun 2017 berbanding AS$98.7 bilion (RM436.1 bilion) pada 15 Jun 2017.