Ibu pejabat MIC dalam proses menghantar borang B kepada semua cawangan parti bagi membolehkan mereka mengadakan mesyuarat tahunan dan pemilihan, kata Naib Presiden MIC Datuk M. Saravanan.

Beliau berkata cawangan yang telah menerima borang berkenaan boleh mengemukakan kertas pencalonan mereka pada 10, 11 dan 12 Julai ini.

Pemilihan, bagi kira-kira 3,400 cawangan, dijadualkan diadakan seminggu selepas itu.

Saravanan berkata sekiranya tiada pertandingan selepas pencalonan, ketua cawangan itu akan diumumkan sebagai ketua cawangan yang dipilih secara sah dan tidak perlu mengadakan mesyuarat agung.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan projek fertigasi cili Yayasan Gerakan Tindakan Afirmatif Baharu (NAAM), di sini pada Sabtu.

Ditanya mengenai pengedaran Borang B oleh Datuk Seri G. Palanivel yang menegaskan dirinya masih presiden MIC, Saravanan yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata Palanivel bukan lagi presiden MIC dan anggota parti mengikut perlembagaan MIC.

Palanivel dilaporkan telah memecat dirinya sendiri daripada MIC apabila beliau melanggar perlembagaan parti dengan mengambil tindakan undang-undang terhadap arahan Pendaftar Pertubuhan (RoS) supaya parti itu mengadakan pemilihan baharu, dengan itu membolehkan Timbalan Presiden Datuk Seri Dr S. Subramaniam menjadi pemangku presiden.

"Kalau dia (Palanivel) nak adakan mesyuarat cawangan, cawangan itu tidak sahlah. Macam mana bukan ahli mahu mengendalikan mesyuarat," kata Saravanan yang juga Anggota Parlimen Tapah.

Beliau berkata pengerusi cawangan dan anggota jawatankuasa sudah cukup matang untuk membuat penilaian.

Mengenai projek fertigasi cili, Saravanan yang juga pengasas Yayasan NAAM berkata sebanyak 109 pengusaha terlibat dalam fasa pertama projek itu membabitkan keluasan tanah 44.1 hektar.

Beliau berkata untuk fasa kedua pula, sebanyak 350 pengusaha telah mendaftar selain turut menghadiri kursus awal.

Katanya Yayasan NAAM menyasarkan untuk melahirkan lebih ramai belia mahir dalam bidang pertanian yang dapat memberi pulangan yang tinggi kepada mereka.

Sementara itu, di Kuala Lumpur, Ketua Pemuda MIC, C.Sivaraajh berkata majoriti ketua pemuda bahagian MIC bersetuju agar pemilihan parti diteruskan dalam usaha menamatkan krisis yang sedang berlarutan.

Beliau berkata sebelum ini sokongan agak berbelah bahagi kerana mereka tidak mendapat penjelasan yang secukupnya daripada aspek teknikal, namun pergerakan itu sudah mendapat penerangan melalui perjumpaan khas yang beliau sendiri anjurkan pada Sabtu.

"Hari ini saya berpuas hati kerana mereka sanggup hadir ke sini untuk mendengar sendiri penjelasan kenapa parti perlu melalui proses (pemilihan) ini," katanya.

Sivaraajh berkata ketua pemuda atau wakil dari 96 bahagian hadir di perjumpaan itu di ibu pejabat MIC di sini.