Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin mengingatkan anggota pergerakan itu agar tidak mengambil mudah terhadap mana-mana parti baharu yang ditubuhkan untuk menentang Barisan Nasional (BN).

"Apa sahaja parti yang ditubuh untuk menentang BN perlu kita anggap serius dan perlu kita lipat-gandakan usaha untuk memastikan sokongan (kepada BN dan UMNO) tidak lari," katanya.

Selain itu, katanya golongan muda yang belum bersama-sama BN juga perlu didekati untuk mengajak mereka menyertai perjuangan parti.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas parti baharu yang bakal ditubuhkan oleh bekas Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Dalam pada itu, Khairy berharap golongan muda di Sabah terus bersikap rasional dengan kemunculan parti baharu demi memelihara kestabilan politik di negeri ini.

"Mana-mana parti baharu yang ditubuhkan untuk menentang Barisan Nasional pasti akan membangkitkan isu sensasi dan sensitif untuk menarik golongan muda menyertai parti itu.

"Melihat kepada kestabilan politik yang dibawa (kerajaan BN) di Sabah, kita tidak mahu Sabah kembali kepada zaman ketidaktentuan," katanya.

Terdahulu pada majlis penyampaian peruntukan Hari Sukan Negara (HSN) di sini, Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan menyampaikan peruntukan berjumlah RM2,732,500 kepada 2,985 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Jawatankuasa Kemasyarakatan Dalam Bandar (JKDB) di negeri ini untuk menganjurkan HSN pada 8 Okt.

Menteri Belia dan Sukan negeri Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan berkata semua kemudahan sukan negeri boleh digunakan secara percuma sepanjang HSN nanti. -- BERNAMA