Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan Tantawi menegaskan keputusan PAS untuk tidak menyertai perhimpunan Bersih 4 tidak boleh dipertikai.

Ini kerana tegasnya, PAS mahu memberi tumpuan penuh kepada kerja-kerja memantapkan parti.

"Ada faktor tertentu oleh PAS kerana kita dalam persiapan yang memerlukan tumpuan kepimpinan, seperti penganjuran kongres rakyat, himpunan 60,000 pada lokasi tertentu," kata Nasruddin semasa sidang media selepas Majlis Munaqasha 8.0 Ucapan Dasar Presiden PAS di Juru pada Ahad.

Beliau turut mengulangi pendirian, PAS tetap menyokong agenda perjuangan yang dibawa dalam penganjuran Bersih 4.

Malah PAS tidak menghalang mana-mana ahlinya untuk turut sama di dalam perhimpunan dua hari yang dikategorikan sebagai haram di Kuala Lumpur.

"PAS juga fokus dalam menganjurkan program yang mempunyai maksud sama untuk membawa perubahan dalam negara," ujar Nasruddin.

Perhimpunan anjuran Bersih 2.0 yang berlangsung pada Sabtu dan Ahad merupakan demonstrasi pertama seumpamanya tanpa penyertaan dan komitmen PAS.