Kehadiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Bersih 4 akhir bulan lepas hanyalah semata-mata untuk menumpang populariti perhimpunan itu bagi meluahkan rasa tidak puas hati terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pengerusi Gabungan NGO-NGO Malaysia, Datuk Jamal Md Yunus berkata, kehadiran Dr Mahathir juga diibarat sebagai pepatah 'Marah seekor nyamuk, kelambu dibakar'.

"Dr Mahathir datang Bersih 4 dan ambil kesempatan di atas populariti perhimpunan haram itu untuk menunjukkan reaksi tidak puas hati terhadap Najib," katanya semasa sidang media selepas mesyuarat bersama wakil-wakil NGO Melayu di sini hari ini.

Pada sidang media yang sama, Jamal memaklumkan bahawa Perhimpunan Padang Merbok yang dijadualkan pada 16 September ini akan diteruskan meskipun permit daripada pihak berkuasa masih belum diperolehi.

Tegasnya, tidak ada sebab untuk mana-mana pihak menggagalkan perhimpunan itu dengan apa cara sekalipun.

Dr Mahathir Mohamad dan isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali menghadiri perhimpunan Bersih 4 pada kedua-dua hari Sabtu dan Ahad perhimpunan itu, akhir bulan lepas.

Dr Mahathir yang tiba di lokasi perhimpunan pada jam 7.15 malam Sabtu dengan berpakaian biasa dan tidak mengenakan baju yang tertera kempen Bersih 4.

Pada hari berikutnya, beliau dan isteri meluangkan masa 'bersiar-siar' di Pasar Seni di sini bagi meninjau perkembangan perhimpunan berkenaan.

Dr Mahathir hadir dengan menaiki komuter dari satu lokasi di ibu negara, sebelum turun di stesen Kuala Lumpur dan menuju ke Pasar Seni, di mana beliau turut mengadakan sidang media pada hari tersebut.

Dalam pada itu kata Jamal, perhimpunan 34 jam pada 29 dan 30 Ogos itu merupakan 'perhimpunan Cina DAP' kerana hanya 10 peratus daripada pesertanya terdiri dari bukan Cina.

"Seperti saya kata, kehadiran 90 peratus Cina menggambarkan ia perhimpunan Cina DAP. Jadi, yang bakinya 10 peratus lagi yang Melayu, India dan lain-lain hanya selingan.

"Mereka yang hadir ini sudah dijajah pemikirannya," jelasnya.

Kehadiran Dr Mahathir turut mendapat reaksi Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Tajuddin Abdul Rahman yang mahu bekas perdana menteri itu tidak hadir pada Perhimpunan Agung UMNO pada hujung tahun ini.

Katanya, kehadiran Dr Mahathir hanya akan mengundang persepsi negatif di kalangan ahli parti selepas hadir ke perhimpunan Bersih 4 sebelum ini.