Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui keperibadian Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad masih sama seperti dahulu.

Namun beliau berkata, dari segi dasar dan prinsip, Dr Mahathir dilihat jelas berubah berbanding masa lalunya.

"Mahathir adalah Mahathir...tegas, berterus terang, provokatif, tidak bermain dengan kata-katanya. Baik, kita semua faham beliau, tetapi adakah beliau komited untuk reformasi?Beliau telah menjelaskan bahawa Malaysia mesti muncul sebagai demokrasi.

"Adakah beliau percaya dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah yang bebas? Ya. Adakah beliau bertolak ansur dengan media bebas? Ya.

"Jadi dalam hal ini, beliau sudah berubah," katanya ketika berucap pada Summit Singapore 2018 di sini, pada Sabtu.

Anwar berkata, keperibadian dan sikap Dr Mahathir perlu diterima kerana apa yang paling penting, perdana menteri ketujuh itu komited dalam isu-isu asas.

"Terdapat isu-isu yang saya tidak setuju. Contohnya sikapnya yang lantang. Saya pernah katakan kepada beliau jika terus begini, maka saya ada kerja...suatu kerja lama untuk mengekangnya," katanya.

Dalam pada itu, Anwar yakin Dr Mahathir menunaikan janjinya dalam beberapa aspek, termasuk memastikan badan kehakiman yang bebas, tindakan pencegahan rasuah serta mengusahakan pembebasan dan pengampunannya daripada segi dasar dan prinsip, sangat jelas telah berubah dari masa lalunya.