UPACARA mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar adalah satu upacara yang menandakan terbentuklah sebuah kerajaan oleh sebuah parti yang dipilih oleh rakyat.

Negeri mana yang sudah membentuk kerajaan negeri pada hari ini dan menerima Menteri Besar dan Ketua Menteri yang baharu?

Melaka

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil, Adly Zahari mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-11 di hadapan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob.

Surat pengisytiharan watikah pelantikan Ketua Menteri Melaka yang baharu itu dibacakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Roslan Ibrahim.




Kedah

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Kedah ke-13 di Istana Anak Bukit.

Mukhriz yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah mengangkat sumpah taat setia jawatan itu di hadapan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah sebelum menandatangani watikah pelantikan.





Selangor

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor di Istana Alam Shah.

Istiadat mengangkat sumpah jawatan dan ikrar Aku Janji itu diadakan di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Mohamed Azmin, 54 tahun yang juga ADUN Bukit Antarabangsa dilantik sebagai Menteri Besar Selangor bagi penggal ketiga selepas PH berjaya mempertahankan negeri ini pada PRU14.