Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR pada malam Selasa menyaksikan PKR masih menantikan keputusan Istana Selangor untuk beri perkenan presiden parti Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar yang baharu.

Menurut sumber dalaman PKR, parti itu difahamkan akan memanggil satu lagi mesyuarat MPP Khas sebaik sahaja menerima jawapan daripada Istana, termasuk kemungkinan mengesahkan nama Timbalan Presiden Mohamad Azmin Ali sebagai calon alternatif.

‎"Sebaik sahaja istana memberi jawapan, nama Azmin sebagai alternatif Menteri Besar akan 'dinaikkan'.

"Ia akan disahkan sebaik sahaja mesyuarat khas diadakan," katanya ketika menghubungi Astro AWANI di sini hari ini.

Majlis Pimpinan Pusat Keadilan dalam mesyuarat tersebut mengulangi pendirian menamakan presiden parti sebagai calon tunggal Menteri Besar Selangor.

Menurut kenyataan setiausaha agung Saifuddin Nasution Ismail kepada media, pencalonan Dr Wan Azizah turut mendapat sokongan Timbalan Presiden Mohamad Azmin Ali.

“Majlis Pimpinan Pusat menegaskan sekali lagi keputusan yang telah dibuat pada 21 Julai 2014 yang bersetuju sebulat suara mencalonkan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor.”

“YB Mohamad Azmin Ali, Timbalan Presiden Keadilan turut mengulangi sokongan beliau kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal dari Keadilan untuk jawatan Menteri Besar Selangor.”

Terdahulu, sayap Wanita PR telah menyatakan sokongan tanpa syarat kepada Presiden PKR itu sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dilapor akan mengeluarkan kenyataan berhubung kedudukannya sebagai menteri besar hari ini.