Kepimpinan Pusat Barisan Nasional (BN) masih belum memuktamadkan calon yang akan bertanding di Parlimen Bandar Tun Razak dan Wangsa Maju.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata usaha untuk memuktamadkan calon kedua-dua kerusi itu sedang dilakukan.

“Keputusan belum dimuktamdkan tetapi usaha-usaha ke arah itu sedang di dalam proses,” katanya apabila ditanya berkenaan adakah benar berlaku pertukaran calon komponenen BN di Parlimen Wangsa Maju dan Bandar Tun Razak.

BACA: Kecewa MCA dapat kerusi Parlimen Wangsa Maju, UMNO turunkan bendera parti

BACA: PRU14: Shahrizat ambil Bandar Tun Razak, MCA ambil Wangsa Maju?

Menurut Ahmad Zahid, Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak akan memutuskan perkara tersebut dalam masa terdekat dan kepimpinan daripada semua parti komponen BN perlu akur demi kebaikan parti.

Beliau pada masa sama turut mengakui MCA memohon supaya kerusi Wangsa Maju dipulangkan kembali kepada mereka.

“Kita ketahui dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), kerusi itu telah dipinjamkan kepada UMNO dan MCA memohon supaya pinjaman itu dibayar kembali iaitu dengan memulangkan kerusi berkenaan kepada MCA,” katanya.

Beliau juga mengakui telah ditemui oleh kepimpinan UMNO Wangsa Maju yang meluahkan rasa kecewa mereka terhadap keputusan untuk menyerahkan semula kerusi itu kepada MCA.

“Saya ditemui oleh AJK UMNO Bahagian Wangsa Maju dan juga semua Pengerusi-pengerusi PDM Wangsa Maju dan mereka telah meluahkan perasaan ketidakpuasan hati terhadap keputusan yang dibuat untuk menyerahkan semula kerusi itu kepada MCA.

“Saya telah memberikan nasihat kepada kumpulan yang telah temui saya pagi semalam itu bahawa kita harus menghormati sebarang keputusan yang dibuat oleh Pengerusi BN. Kita harap jangan ada tindakan terburu-buru yang dilakukan oleh mana-mana pihak.

“Semangat sepasukan sebagai ahli dan pemimpin BN hendaklah diterjemahkan supaya kepentingan BN dapat diutamakan. Ini bukan bererti bahawa kita tidak menghormati permintaan daripada UMNO Bahagian Wangsa Maju, tetapi kita serahkan sepenuhnya kepada Pengerusi BN untuk memuktamadkan permohonan dan rayuan mereka itu,” ujarnya selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari RELA Ke-46 Peringkat Negeri Perak di sini hari ini.

Semalam Astro AWANI melaporkan Pemuda UMNO Wangsa Maju membekukan semua aktiviti mereka ke satu tarikh yang belum ditentukan kerana kecewa bila mendapat khabar kerusi Parlimen Wangsa Maju diserahkan kepada MCA.

Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Wangsa Maju, Wan Muhammad Azri Wan Deris mendakwa jentera UMNO bahagian tersebut telah bertungkus lumus sejak PRU13.