UMNO Sabah akan mengetengahkan sekitar 80 hingga 85 peratus calon baharu di Libaran bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Menurut beliau, wajah baharu menjadi kriteria utama dalam usaha meletakkan calon kelak.

Dalam pada itu, beliau berkata calon UMNO di Libaran dan keseluruhan Sabah sudah dikenal pasti.

"Namun belum buat keputusan siapa dipilih. Kita juga akan ketengahkan calon muda," katanya.

Dalam masa sama, beliau mengambil maklum cadangan UMNO Libaran meminta agar parti itu bertanding di tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan Libaran iaitu Sungai Sibuga, Sungai Manila dan Gum-Gum.

Kerusi di kawasan berkenaan hangat diperkatakan kerana sebelum ini salah satunya iaitu Sungai Sibuga disandang bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman.

Dalan perkembangan sama, Bung berkata, sehingga kini, Musa masih belum menghubunginya.

"Tetapi dia (Musa) masih ahli UMNO dan setakat ini belum ada sebarang perbincangan mengenai dia ingin menjadi calon," katanya.