Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengingatkan pimpinan dan anggotanya agar terus istiqamah dalam menghadapi cabaran semasa yang melanda parti.

Ujarnya, tujuh amanah penting perlu dilaksanakan Pas ketika ini.

"Pertama, meningkatkan keyakinan dan kebergantungan ke hadrat Allah, dan kedua, meningkatkan ilmu, kefahaman dan tarbiah bagi memelihara jati diri sebagai ahli Jemaah Islam," katanya dalam satu kenyataan di Facebook sempena Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan dan Dewan-Dewan pada Sabtu.

Pada masa sama, parti itu mahu merapatkan ukhuwah dan saf perjuangan, serta menjaga wala’ dan adab ikhtilaf dalam jemaah.

"Pas juga mahu merapatkan hubungan baik dengan masyarakat, anak muda, wanita, tokoh berpengaruh, NGO dan kumpulan Islam, merapatkan hubungan baik dengan rakan-rakan bukan Islam yang bermasyarakat madani, khususnya di kalangan tokoh dan NGO berpengaruh."

Parti itu meyakini bahawa masa depan adalah untuk Islam.

"Mendahulukan damai dan persaudaraan dalam berpolitik serta mengelakkan pertembungan dan krisis dalam masyarakat," tambahnya.