Pas tidak gentar menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson meskipun perlu berdepan tokoh politik seperti Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas menteri besar Negeri Sembilan Tan Sri Isa Samad dalam kemungkinan pertandingan enam penjuru.

Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata meskipun ada dakwaan mengatakan calon Pas, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar bukan tandingan Anwar, beliau yakin faktor kemenangan di PRK itu pada 13 Oktober nanti akan ditentukan oleh undi daripada rakyat.

"Yang akan menentukan kalah menang adalah rakyat... Kita kena sedar meskipun dengan satu undi ia boleh membawa kemenangan.

"Kita pernah menghadapi saingan yang lebih besar sebelum ini. Pas pernah mengalahkan Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1969 di Kota Setar Selatan.. Jadi ia tidak mustahil (untuk Pas menang)," katanya ketika ditemui di kediamannya di Rusila di sini hari ini.

Mohd Nazari, Ketua Pas Bahagian Tenggara di Johor pernah berkhidmat dalam Tentera Udara Diraja Malaysia dan pernah tewas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Raja pada Pilihan Raya Umum (PRU) 13 dan DUN Panti pada PRU14.

Mengulas pemilihan Mohd Nazari sebagai calon serta prestasinya dalam politik, Abdul Hadi berkata ia calon yang tepat mengambil kira latar belakang beliau seorang bekas tentera dan Port Dickson sebagai bandar angkatan tentera.

"Meskipun beliau bukan orang tempatan, pemilihan beliau sebagai calon turut disokong oleh pihak NGO, pemimpin politik yang lain dan kita juga mendapat sokongan daripada Dewan Himpunan Penyokong Pas yang bersedia turun padang menjadi jentera pada PRK nanti.

"Prestasi beliau sebelum ini juga tidak akan mempengaruhi pada PRK kali ini kerana ketika itu Mohd Nazari bertanding di Johor, yang ketika itu masih menjadi kubu kuat Barisan Nasional dan UMNO ,"katanya.

Abdul Hadi juga berkata keputusan Isa yang berhasrat bertanding sebagai calon Bebas pada PRK itu juga tidak mempengaruhi undi Pas, malah berharap undi orang UMNO akan berpihak kepada Pas.

Ditanya sama ada Pas berkecil hati kerana BN dan UMNO dilihat memboikot PRK itu dan dijangka tidak turun membantu kempen calon Pas, Abdul Hadi berkata : Kita tidak berkecil hati. Dalam politik kita tak boleh bermusuh dan berkawan selama-lamanya," katanya.

-- BERNAMA