'Perceraian politik' antara PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan menjadikan gelanggang pilihan raya umum (PRU) ke-14 menyaksikan pertandingan yang lebih rancak bagi merebut sesuatu kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri dalam kalangan semua parti politik, kata penganalisis politik tempatan.

Mereka berpendapat keputusan PAS kelmarin, untuk memutuskan tahaluf siyasi (kerjasama politik) dengan PKR yang terjalin sejak pilihan raya umum ke-11 itu, menyemarakkan lagi arena politik negara yang kini dilihat lebih kepada perjuangan mencari rakan kongsi dan rakan dagang ataupun menjadi 'lone ranger' sewaktu PRU14 nanti.

Pensyarah dan penganalisis Geo-Politik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM, Prof Madya Dr Mohd Fuad Mat Jali berkata semestinya perceraian politik ini membawa kepada pertandingan tiga atau empat penjuru dalam merebut sesuatu kawasan Parlimen atau dewan undangan negeri dan ini situasi tidak boleh dielak lagi pada pilihan raya umum akan datang.

"Yang totok (penyokong tegar) akan terus berpihak kepada parti masing-masing sama ada UMNO, PAS atau PKR. Dalam kajian kita, kebiasannya, gabungan yang terkuat akan berpeluang tinggi untuk memenangi pertandingan ini seperti Barisan Nasional (BN).

"Namun jangan dilupakan, kawasan kubu kuat PAS pasti akan terus padu kerana tidak perlu lagi menjaga hati rakan sepermainan seperti sebelum ini dalam isu meletakkan calon atau kawasan yang ingin ditandingi mereka. Itulah permainan politik sekarang," katanya kepada Bernama.

Majlis Syura Ulama PAS kelmarin sebulat suara mengambil keputusan menamatkan hubungan tahaluf siyasi dengan PKR secara serta-merta dan keputusan itu dibuat sebagai merujuk kepada tindakan PKR melanggar beberapa syarat kerjasama politik antara PAS dan PKR yang terjalin sejak sekian lama.

Keputusan Majlis Syura PAS itu sememangnya dijangkakan selepas Muktamar PAS yang berlangsung baru-baru ini di Alor Setar, Kedah meluluskan usul sebulat suara supaya kerjasama politik antara kedua-dua parti itu ditamatkan berikutan PKR dilihat tidak menghormati PAS sebagai rakan sekutu mereka.

Mohd Fuad menarik perhatian, PAS yang terkenal dengan jentera kerja keras itu tidak ada masalah untuk bergerak sendiri tanpa sokongan parti lain kerana matlamat mereka adalah untuk memperjuangkan Islam dan bukannya agenda peribadi pakatan.

Jelasnya, episod perceraian politik ini dijangka berpanjangan dengan PAS pastinya akan menuntut semula kerusi yang dipinjamkan kepada PKR seperti di Gombak untuk diduduki semula dan bertanding di kawasan yang sebelum ini ''dinasihatkan'' sekadar menyokong dari belakang sahaja.

Sementara itu, seorang lagi penganalisis politik Prof Madya Datuk Dr Samsu Adabi Mamat pula percaya perkembangan politik di Selangor pastinya akan menambah drama dalam perceraian politik ini memandangkan PAS Selangor telah membuat keputusan untuk mengekalkan tiga anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka di dalam barisan EXCO negeri.

"Inilah yang pelik dalam politik kita, corak baharu yang mana sesebuah parti itu saling bersaing untuk menunjuk kekuatan bagi meraih perhatian orang Melayu. Jika ada yang berjaya mendapat bantuan dan sokongan parti lain, pastinya mereka akan menjadi kuat dan membentuk kerajaan.

"Ini belum lagi episod lompat parti. Jadi segala-gala kemungkinan baharu pasti ada seolah-olah petanda yang PRU14 semakin dekat," katanya.

Sementara itu, Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam Majlis Profesor Negara Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata tindakan PAS bercerai politik dengan PKR itu adalah langkah awal untuk mengatur strategi menghadapi PRU14 tanpa sebarang bantuan rakan sekutu untuk bergerak bersendirian.

"PAS sudah menjalankan kuasa prerogatif mereka dan satu langkah yang menggambarkan mereka tidak akan bekerjasama baik dengan PKR mahupun Pakatan Harapan. Ini isyarat kepada bekas rakan mereka dalam kem pembangkang untuk susun strategi tanpa PAS," katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan perceraian politik ini hanya akan menguntungkan PAS dan UMNO sahaja berbanding parti-parti lain jika dilihat dari segi momentum sokongan dan keupayaan jentera pilihan raya mereka selama ini.

-- BERNAMA