Pertukaran calon PAS di kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) di mana-mana negeri termasuk Kelantan adalah perkara biasa, kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Abdul Hadi berkata ia merupakan strategi bagi mengukuhkan lagi pengaruh serta sokongan rakyat kepada parti itu.

"(Calon di Kelantan) ada gabungan muka baru dan lama dan pertukaran dari DUN ke Parlimen serta Parlimen ke DUN adalah biasa...Presiden PKR (Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail) juga pindah lagi jauh dari tempat dia," katanya selepas mengumumkan calon PAS Kelantan di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini, malam tadi.

BACA: PRU14: Ahmad, Nik Amar pertahan kerusi masing-masing

Sementara itu, bekas Ketua Pemuda PAS Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang dicalonkan bertanding di Bachok berkata beliau percaya keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan adalah yang terbaik.

"Ini tanggungjawab besar dan saya akan buat sehabis baik untuk rakyat di Bachok," katanya yang merupakan penyandang Parlimen Pasir Mas.

Sementara itu, Naib Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari yang dicalonkan di Pasir Mas yakin sokongan rakyat masih tinggi dan parti itu berupaya mengekalkan kerusi parlimen itu pada pilihan raya kali ini.

"Saya optimis rakyat akan beri kepercayaan kepada PAS dan saya sendiri adalah anak Pasir Mas," katanya.

PAS akan bertanding di kesemua 14 kerusi Parlimen dan 45 DUN di Kelantan. -- Bernama