Di Parlimen P008 Pokok Sena, pertandingan merebut hati dan mandat rakyat menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini, boleh dikatakan lebih menjurus ke arah personaliti.

Pertama, kita ada calon yang begitu popular di arena politik tanah air, tak lain tak bukan penyandangnya Datuk Mahfuz Omar yang kini sudah meninggalkan Pas, dan berkiblatkan Parti Amanah Negara (Amanah) di bawah lembayung Pakatan Harapan (Harapan).

BACA: Amanah umum 13 calon tanding di Kedah

BACA: 'Pas bukan saingan dalam politik kini' - Mahfuz

Bohonglah sekiranya ada pemerhati politik atau wartawan isu semasa yang tidak mengenali bekas Naib Presiden Pas ini. Sama sekali tidak masuk akal. Apatah lagi, mengenangkan Mahfuz, yang kini menyandang jawatan Naib Presiden Amanah, biar pun baru saja menyertai parti itu, begitu popular di Dewan Rakyat.

Rekod kehadirannya dijamin cemerlang. Setiap kali beliau bangun meminta izin Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk memulakan atau mencelah perbahasan, pasti ia menarik minat yang mendengar atau memerhati.

Substantial atau tidak, itu belakang cerita.

Rekod prestasinya di Pokok Sena juga kiranya cemerlang juga. Kalau tak, masakan beliau menjadi pilihan penduduk di kawasan itu selama tiga kali (1999, 2008, dan 2013),

Pada pilihan raya umum yang lepas, Mahfuz menewaskan calon Barisan Nasional (BN), yang juga merupakan Pegawai Khas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak iaitu Datuk Shahlan Ismail, dengan majoriti 3,935 undi.

PRU kali ini, beliau akan menghadapi saingan tiga penjuru. Pertamanya, bekas parti beliau iaitu Pas akan mengenengahkan bekas kapten pasukan bolasepak Kedah, Muhamad Radhi Mat Din, atau lebih dikenali sebagai ‘Captain Marvel’ di zaman kegemilangannya.

BACA: Bekas pemain bola sepak kebangsaan bakal cabar Mahfuz di Pokok Sena

BACA: #MalaysiaMemilih: Radhi Mat Din calon Pas di Pokok Sena

BACA: Radhi Mat Din calon Pas hanya strategi yang celaru - Pemuda UMNO Kedah

Bagi peminat dunia bola sepak tanah air, khususnya dari Kedah Darul Aman, siapa tidak kenal dengan bekas pemain tengah skuad negara sekitar 90an ini. Kariernya cukup hebat sehingga pernah dinobat pemain terbaik Malaysia pada 1993.

Selain itu, dengan rekod tujuh kali memimpin Kedah ke final Piala Malaysia (1977-1993), dua kali memenangi Piala Malaysia (1990 dan 1993), sekali memenangi Piala FA (1996), bak kata seorang peminat tegar, Radhi Mat Din itu ‘maestro’.

Di atas padang bola beliau dikenali sebagai seorang pemain yang cukup tenang. Dahulu hanya berlegar di atas padang bola, yang luasnya 0.404 hektar.

Kali ini, arenanya ialah Parlimen Pokok Sena, seluas 24,240 hektar. Namun dari Hijau Kuning ke Hijau Pas, bolehkah beliau mengekalkan ketenangannya untuk memenangi Pokok Sena?

Pokok Sena, daerah ke-12 Kedah Darul Aman, terletak di bawah seliaan Majlis Bandaraya Alor Setar, dan ia lebih dikenali sebagai daerah pertanian dengan aktiviti utama penduduk lebih berlingkar ke arah penanaman padi, dusun buah-buahan dan juga koko.

Mengikut daftar pemilih terkini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), terdapat 88,892 pengundi, dengan 81.44 peratus adalah Melayu, Cina (15.45 peratus), India (2.51 peratus) dan lain-lain (0.6 peratus).

Dalam saingan tiga penjuru itu, Barisan Nasional kali ini mengenengahkan Ketua UMNO Bahagian Pokok Sena, Datuk Said Ali Syed Rastan, pengerusi Mara Liner Sdn Bhd.

Dalam temubual baru-baru ini, Said Ali melahirkan keyakinan untuk merampas kembali Parlimen Pokok Sena, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Derga dan Bukit Pinang, selain mempertahankan DUN Bukit Lada.

Katanya lagi, keyakinan itu timbul berdasarkan semangat dan komitmen kerja jentera UMNO serta parti komponen yang kerap turun padang mendekati rakyat setempat sejak empat tahun lepas, selain sokongan dan penyertaan positif rakyat dalam setiap program anjuran BN.

BACA: Peluang BN menang di Parlimen Pokok Sena cerah

Apa pun, PRU kali ini akan membantu kita mendapatkan jawapan sebenar bagi persoalan sama ada Pokok Sena itu sebenarnya kubu kuat Pas, atau kubu kuat Mahfuz Omar.

Atau mungkin juga UMNO atau Barisan Nasional pula tiba-tiba melakukan kejutan.