Kekalahan Dr Halimah Ali pada PRK Seri Setia semalam disifatkan sebagai 'menang dalam kalah' oleh calon Pas itu.

Beliau berkata walaupun secara rasmi keputusan PRK Seri Setia berpihak kepada Pakatan Harapan (PH) tetapi di sebalik kemenangan itu, Pas sebenarnya mencipta pelbagai pencapaian yang sangat membanggakan.

Menurutnya, PH menang tapi jumlah undi mereka di Seri Setia menunjukkan kemerosotan daripada 29,250 undi pada PRU14 lalu kepada 13,725 undi pada PRK kali ini.

"Berbeza dengan Pas, sewaktu PRU14 lalu hanya memperoleh 4,563 undi sahaja tapi pada PRK kali ini kita berjaya mencatatkan peningkatan jumlah undi kepada 9,689 undi.

"Bukan setakat itu sahaja, kita juga berjaya mengekalkan kemenangan di daerah mengundi (DM) di PJS5 dengan undi yang lebih besar serta memenangi DM Sungai Way yang kita tak pernah menang sebelum ini," katanya ketika ditanya apakah Pas langsung tidak kecewa dengan kekalahan pada PRK Seri Setia, semalam.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu berkata lebih membanggakan dalam PRK kali ini juga, buat pertama kalinya Pas turut membolot kemenangan apabila mencatatkan undi tertinggi menerusi undi pos, undi awal daripada polis dan tentera serta peningkatan ketara undi daripada golongan muda di sebahagian saluran di 20 unit DM di Seri Setia ini.

Beliau berkata, pencapaian tersebut menunjukkan pengundi muda sudah semakin bijak menilai dan bukan keluar mengundi berdasarkan tren semata.

Malah katanya, penjawat awam juga dilihat semakin matang serta cakna dengan apa yang berlaku dan lebih memahami fungsi Pas bukan bekerja untuk jawatan dunia semata.

Menurutnya, pemantauan dibuat juga menunjukkan pengundi dari kaum Tionghua dan India yang dulunya dilihat sangat takut pada Pas dan 99 peratus lebih rela memberi undi mereka pada PH, kini sudah berubah.

"Terdapat kira-kira 30 peratus peningkatan undi dari kaum India serta 10 kali ganda peningkatan undi dari kaum Cina kepada Pas di sini kali ini...

"Penerimaan kaum Cina jelas apabila sewaktu saya turun melawat ke saluran-saluran mengundi semalam, mereka yang panggil saya dan mahu bergambar. Kita sangat bersyukur dengan maklum balas sebegini.

"Walaupun undi tak cukup tapi kita menang di beberapa tempat, berjaya yakinkan lebih ramai pengundi di peringkat yang saya sebutkan tadi....Pencapaian ini adalah satu sejarah buat Pas dan sebab itu saya kata, Pas sebenarnya menang dalam kalah," katanya pada sidang akhbar di Bilik Gerakan Pas TTDI Jaya, di sini, hari ini.

Halimah berkata, dalam keadaan Pas yang serba kekurangan dari segi kekuatan jentera mahupun dana yang terhad untuk berkempen sepanjang 21 hari ini, beliau bangga Pas boleh berada di tahap ini.

"Berbeza dengan PH yang mana Seri Setia dikatakan kubu kuat mereka selama tiga penggal dan mereka mempunyai kekuatan 3M iaitu 'money', 'media' dan 'machinery'...

"Kita sebaliknya hanya mampu menyantuni peribadi dan bergantung kepada semua bantuan dari Pas negeri, tiada program besar-besaran tetapi alhamdulillah berjaya capai lebih 9,000 undi, maknanya lebih 100 peratus undi Pas meningkat berbanding PRU14.

"Ini saya lihat sebagai isyarat atau 'wake up call' kepada PH agar lebih cakna dengan apa yang dialami rakyat," katanya menganggap kekalahan diri pada PRK kali ini sebagai takdir, namun mengucapkan tahniah kepada pengundi Seri Setia kerana berani memilih blok pembangkang sehingga menyumbang kepada pencapaian tersebut.