Pilihan Raya Umum (PRU) merupakan jalan terbaik untuk menyelesaikan ketidaktentuan politik yang melanda negara ini, kata Penganalisis Politik Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub.

Beliau berkata, kedua-dua Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) mempunyai isu yang perlu diselesaikan dengan segera, sebelum memikirkan usaha memenangi hati rakyat.

Jelas beliau lagi, PN sebagai contoh, masih bukan merupakan satu entiti politik yang didaftar dengan sah, sekali gus berkemungkinan besar mewujudkan kecelaruan dalam kalangan rakyat.

“Untuk berhadapan dalam pilihan raya umum ke akan datang, rakyat hendak pilih gabungan mana? Sekarang ada tiga gabungan, iaitu Barisan Nasional, Muafakat Nasional, dan Perikatan Nasional. Rakyat masih keliru bagaimana hendak wujudkan satu imej kepada ketiga-tiga gabungan ini yang menjadi satu, menerusi kerjasama tiga parti politik Melayu ini.

“Mereka perlu rebranding (menjenama semula) imej mereka agar rakyat daripada sekarang dapat kenal mereka, dengan lebih jelas, bagaimana nak mengundi mereka berdasarkan semangat, sentimen manifesto yang jelas untuk diundi dalam pilihan raya umum,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Bagi PH pula, Mohammad Tawfik berkata, isu pemilihan calon perdana menteri bukan sesuatu yang tidak perlu disegerakan, kerana itu juga merupakan antara faktor mengapa rakyat akan mengundi mereka kembali.

"Kalau kita tengok hari ini, Pakatan Harapan masih lagi mencari-cari siapa calon perdana menteri seterusnya. maka masalah dalaman dalam Pakatan Harapan itu tidak dapat diselesaikan dengan segera, akhirnya menjadi dan digembar-gemburkan dalam media.

“Ini menyebabkan rakyat akhirnya bosan dengan Pakatan Harapan dan menyebabkan rakyat akhirnya memilih alternatif baharu iaitu mungkin dalam gabungan rasmi Perikatan Nasional,” katanya lagi.

Cakap-cakap mengenai kemungkinan pilihan raya umum timbul selepas jumlah beberapa media melaporkan parti-parti politik sudah mula mempersiapkan jentera pilihan raya masing-masing bagi berdepan proses demokrasi itu.

Dalam pada itu, Mohammad Tawfik menjelaskan, pada pilihan raya umum kali ini, jika diadakan, rakyat akan tetap memilih pihak yang mereka fikir sesuai dengan selera politik masing-masing.

Jelasnya, apa yang penting, sekarang ialah bagaimana PN dan PH masing-masing, menguruskan sebarang sentimen dan persepsi terhadap gabungan politik mereka.

“Sebenarnya apa yang boleh dipertimbangkan dalam pilihan raya iaitu persepsi. Jika persepsi rakyat itu berjaya ditangani mana-mana pihak, maka saya yakin bahawa, kumpulan yang berjaya menangani persepsi, yang berjaya mengawal persepsi dan menghegemoni (mempengaruhi) pemikiran rakyat secara majoriti itu berpeluang membentuk kerajaan,” katanya lagi.