Tutup

Saya tidak akan serang peribadi Anwar - Isa Samad

Saya tidak akan serang peribadi Anwar - Isa Samad
MOHD ISA: Kalau nak bangkitkan serangan peribadi (Anwar) calon Pakatan Harapan, saya boleh ceritakan sejak tahun 1998 lagi... semua dalam kocek saya, tapi ia tidak eloklah.
PORT DICKSON: Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad menegaskan bahawa beliau tidak akan menyerang peribadi Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sepanjang kempennya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

Calon bebas itu berkata sebaliknya corak kempennya lebih tertumpu kepada khidmat yang pernah diberikan beliau selama ini kepada masyarakat setempat.
"Kalau nak bangkitkan serangan peribadi (Anwar) calon Pakatan Harapan, saya boleh ceritakan sejak tahun 1998 lagi... semua dalam kocek saya, tapi ia tidak eloklah. Bagaimanapun, saya dan Anwar adalah kawan lama," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas program 'walkabout' di Kampung Arab dan Air Meleleh di sini, pada Selasa.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai serangan beberapa pemimpin PH terhadap dirinya dalam satu program ceramah di Kampung Pitchitan di sini, kelmarin.
PRK Parlimen Port Dickson menyaksikan pertandingan tujuh penjuru melibatkan Anwar, Mohd Isa, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar (PAS) dan empat calon bebas termasuk bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

-- BERNAMA