Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil menegaskan hari ini beliau akan berjuang untuk mengekalkan tradisi kerusi Parlimen milik calon wanita seperti di kawasan Sungai Besar.

Menurut Ketua Wanita UMNO itu, memandangkan ia merupakan salah satu kerusi tradisi wanita, menjadi satu kerugian besar jika ia tidak dikekalkan oleh calon wanita.

"Sebagai Ketua Wanita, saya memang perjuangkan untuk semua wanita. Apatah lagi kerusi yang diharapkan dimenangi oleh wanita.

"Sekian lama ini, Sungai Besar memang adalah antara satu-satunya kerusi yang mana calonnya adalah wanita.

"Jadi, kalau kita hilang kerusi yang secara tradisinya dimenangi oleh wanita, ia adalah satu kerugian besar untuk wanita," kata Shahrizat pada satu sidang media di sini.

Katanya, beliau akan meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selaku Pengerusi Barisan Nasional dan Presiden UMNO untuk mengekalkan kerusi-kerusi tradisi wanita kepada calon wanita.



Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Sg Besar Datuk Jamal Md Yunos yang turut hadir pada sidang media tersebut berkata, masih terlalu awal untuk mengumumkan calon bagi kawasan Sungai Besar.

Bagaimanapun, Jamal tetap mengalu-alukan kehadiran Shahrizat dan bersedia untuk memberikan 'sambutan karpet merah' untuk Shahrizat bertanding di kawasan itu.