Tiada sebarang pengumuman barisan Timbalan Presiden, Setiausaha Agung, Pengarah Komunikasi atau Pengarah Strategik PKR baru di ibu pejabat parti itu di Tropicana hari ini.

Walaupun difahamkan majlis itu sepatutnya berlangsung hari ini, ia ditangguhkan kerana mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR dan biro politik terpaksa dibatalkan pada saat akhir.

Menurut sumber dalaman kepimpinan PKR, majlis itu akan diadakan sebaik sahaja MPP mengadakan mesyuarat mereka yang dijadual semula selepas Hari Raya Aidil Adha.

"Barisan kepimpinan itu sudah ada namun tidak boleh diumum kerana mesyuarat itu dibatalkan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sebuah portal melaporkan barisan kepimpinan itu akan diumum hari ini.

Ia termasuk beberapa muka baru termasuk dari Sabah dan Sarawak yang akan mengisi jawatan tertinggi di dalam parti.

Portal itu turut melaporkan, pengumuman itu dijangka bermula pada pukul 3 petang Sabtu dan diadakan kerana pelantikan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali baru-baru ini.

PKR kini mempunyai tujuh naib presiden termasuk empat yang telah dipilih semasa pemilihan parti baru-baru ini.

Ia termasuk Nurul Izzah Anwar, Tian Chua, Shamsul Iskandar Md Akin dan Rafizi Ramli.

Pembatalan majlis itu turut diakui salah seorang Naib Presiden PKR yang menyifatkan berpunca kerana Hari Raya Aidil Adha pada Ahad.

"Tiada apa-apa di ibu pejabat petang ini, raya korban," ujarnya.