Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan bahawa tiada Pilihan Raya Kecil (PRK) akan diadakan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar, Selangor bagi mengisi kekosongan susulan kematian penyandangnya Kamarol Zaki Abdul Malik pada 17 Jan lepas.

Ia ekoran kekosongan tersebut tidak menjejaskan kekuatan parti majoriti yang membentuk kerajaan negeri.

Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata SPR telah menerima pemakluman rasmi berhubung perkara berkenaan daripada Speaker DUN Selangor Hannah Yeoh.

"Oleh itu, SPR memutuskan bahawa tiada PRK diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi itu berdasarkan peruntukan Undang-undang Tubuh Negeri Selangor," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Pada 17 Jan lalu, penyandang kerusi DUN Air Tawar, Kamarol Zaki 59, meninggal dunia di kediamannya, di Kampung Sungai Air Tawar.

Pada pilihan raya umum lalu, Kamarol Zaki yang mewakili Barisan Nasional (BN) menewaskan calon PAS, Wahid Rais dengan majoriti 1,416 undi.