Sudah tiba masa seluruh kekuatan parti terutama Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) dan Srikandi memfokuskan kepada matlamat perjuangan melindungi Melayu dan bumiputera.

Ketua Armada Lumut, Akmal Maradzi berkata, nasihat Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad supaya pemimpin dan ahli parti mempertahankan hak bangsa ini merupakan wasiat cukup penting untuk mengangkat martabat bangsa agar terus maju dan tidak ketinggalan.

"Inilah masa terbaik pemimpin-pemimpin Bersatu terutama di sayap parti memfokuskan bagi mencari lebih ramai lagi ahli mendaftar selepas ini.

"Dengan keahlian yang ramai dan kuat ini, sudah pasti agenda perjuangan parti akan dapat digalas dengan penuh tanggungjawab dan menyeluruh, sekali gus dirasai Melayu serta bumiputera di negara ini.

"Dalam mengukuhkan perjuangan ini, gesaan Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman supaya lebih banyak ruang dan kedudukan diberi kepada anak muda termasuk wanita muda dalam parti wajarlah diberi perhatian," katanya ketika ditemuii di sini, pada Ahad.

BACA: Melayu berpecah kerana parti politik - Tun M

BACA:
Bersatu, wadah perjuangan orang Melayu - Muhyiddin

Terdahulu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu parti itu akan terus menjadi wadah perjuangan orang Melayu demi masa depan mereka.

Jelas Muyiddin, bagi memperkasakan matlamat itu, anggota parti perlu meneruskan perjuangan dan menyelamatkan orang Melayu.

Dalam pada itu Akmal menjelaskan, Bersatu adalah parti yang mesra untuk orang muda.

"Kita mesti angkat suara mereka. Langkah ini bukan hanya membuka lebih banyak peluang dalam kalangan anak muda untuk bersuara, malah mengangkat darjat anak muda itu sendiri bagi menjadi sebahagian daripada kelompok terpenting dalam mengorak kemajuan negara.

"Hasrat murni ini sudah pastinya mampu memenuhi matlamat perjuangan Bersatu itu sendiri untuk mengangkat dan memperkasa agenda bumiputera dalam kerajaan.

"Orang muda mesti diberi ruang yang secukupnya untuk mereka menimba pengalaman. Sebagai kesinambungannya, golongan ini akan lebih mudah untuk memahami apakah pengisian-pengisian yang akan dinukilkan dalam agenda bumiputera baharu kelak," jelasnya.

Akmal menambah, orang muda ini akan menjadi jentera paling hadapan dalam memperjuangkan mengenai usaha yang akan dan sedang dilaksana kerajaan menerusi agenda itu.

Dalam pada itu tambahnya, pindaan yang akan dibuat di Dewan Rakyat bagi membolehkan anak muda berusia 18 tahun mengundi dalam pilihanraya, sudah pasti memerlukan persiapan jitu dalam Bersatu.

"Inilah masa yang terbaik bagi Bersatu untuk membuka ruang kepada sayap Armada dan Srikandi mencari lebih ramai pemimpin muda untuk diketengahkan.

"Di peringkat Armada dan Srikandi, mereka mesti sama-sama teguh memperkukuhkan sayap Bersatu ini, kerana kesinambungan perjuangan sesebuah parti boleh hancur jika pewarisnya lemah dan berpecah belah," tegasnya.