Menubuhkan parti politik baharu apabila tidak berpuas hati dengan pemerintah dilihat sebagai satu kitaran biasa dalam suasana politik masa kini.

Bagi Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Idris Haron, beliau menyifatkan tindakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menubuhkan parti baharu sama seperti yang dilakukan Datuk Seri Anwar Ibrahim dahulu.

"Ini sejarah. Ahmad Fuad Hassan kecewa tidak jadi presiden UMNO, buka PAS. Tengku Razaleigh Hamzah tidak puas hati dengan Tun M, buka Semangat 46. Anwar marah tidak dapat jadi perdana menteri, buka PKR.

"Kini, Tun M pula menjadi punca ilham kepada penubuhan parti baharu… semuanya parti serpihan daripada parti UMNO itu sendiri.

"Jadi bagi saya, tiada bezanya Tun M dengan Anwar," kata Idris selepas perasmian pertandingan International Remote Control Powerboat Race sempena Festival Antarabangsa Sungai Melaka di Tasik Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Beliau, bagaimanapun, menganggap ‘kitaran’ itu sebagai sesuatu yang sihat dalam sistem negara berdemokrasi.