'Tun Razak akan bangun dari kubur kalau saya tinggalkan UMNO' - Najib

'Tun Razak akan bangun dari kubur kalau saya tinggalkan UMNO' - Najib
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berucap pada majlis santai bersama penduduk Daerah Maran, hari ini. - Foto BERNAMA
MARAN: Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan UMNO adalah sebuah parti yang relevan dan masih 'laku' dalam masyarakat.

Bekas Presiden UMNO itu berkata, UMNO masih kuat di peringkat akar umbi yang menjadi kekuatan parti.

"Walaupun kita menjadi pembangkang dan walaupun tafsiran politik, tetapi satu yang tidak dapat ditolak sesiapa bahawa UMNO masih kuat di peringkat akar umbi kita.

"Inilah sendi utama kekuatan kita, UMNO sebagai sebuah parti akar umbi. Di setiap pelusuk, kampung, Felda, macam di Maran ini, melambangkan punca utama kekuatan UMNO.
"Sebab itulah perjuangan wajib kita teruskan. Hari ini kita jangan merasakan bahawa UMNO ini sudah tidak laku lagi atau UMNO ini yang matlamat, prinsip dan ideologinya tidak relevan lagi," katanya semasa Sembang Santai Bersama Datuk Seri Najib Razak di Maran. 

Beliau dalam pada itu turut menyifatkan kekalahan UMNO pada pilihan raya umum lalu adalah kerana janji-janji 'setinggi gunung' Pakatan Harapan.

"Cuba pejam mata dan kita dalam di ambang PRU, dan Pakatan Harapan ini bawa manifesto yang melambangkan keadaan yang berlaku hari ini, bukan dijanjikan tetapi yang dilakukan hari ini. Bunyi manifestonya macam mana.

"Pertama, kami akan mansuhkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan kami akan gantikan dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST). 10 campur 6 peratus dan kami tidak akan jamin harga barang akan turun.

"Janji setinggi gunung dan Felda hari ini melarat keadaannya. Ada wakil Jengka 10 datang rumah saya. Saya tanya pendapatan, dia cakap pendapatan RM300 sebulan. Sebelum PRU RM3,000. Zaman saya , saya anggap anak emas saya. PRU13 dapat RM15,000, ingat tak? Ada yang dapat pinjaman tanpa faedah. Saya betul-betul jaga masyarakat Felda. Nelayan juga tiap bulan dapat," ujarnya.

Beliau dalam pada itu turut bertegas untuk terus berjuang bersama UMNO dan tidak akan meninggalkan parti itu.

"UMNO dan saya tidak dapat dipisahkan. Barangkali (Allahyarham) Tun Razak akan bangun dari kuburnya kalau saya tinggalkan UMNO. Saya akan teruskan perjuangkan UMNO kerana UMNO tidak ada salahnya," katanya lagi.