Calon Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Xavier Jayakumar yakin dapat mempertahankan jawatan itu meskipun terdapat cubaan untuk menjatuhkannya.

Beliau berkata keyakinan itu berdasarkan faktor pengalaman dan kredibiliti yang dimiliki sepanjang menjadi pemimpin parti di peringkat pusat.

"Saya optimis akan menang, saya orang lama dan dikenali dalam parti, walaupun ada tuduhan jahat kepada saya tetapi ia tidak memberi kesan kepada saya khususnya dalam pemilihan parti pada kali ini.

"Saya juga tidak pasti sama ada muka lama atau baharu yang cuba membuat tuduhan jahat pada saya sehingga dikaitkan dengan amaran yang dikeluarkan jawatankuasa disiplin parti," katanya pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan dengan anggota PKR Perak di sini, malam tadi.

Pada Rabu, sebuah portal media melaporkan, Dr Xavier yang juga Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli diberikan surat amaran oleh Jawatankuasa Aduan dan Rayuan PKR berdasarkan aduan yang dibuat terhadap beliau.

Bagaimanapun, Dr Xavier menafikan menerima sebarang surat selain menyelar tindakan pihak yang dilihat tidak profesional kerana menyebarkannya kepada umum.

Mengulas mengenai pemilihan parti yang sedang berlangsung, beliau berkata berlaku beberapa kelemahan khususnya dari sudut pengundian dan ia seharusnya diberikan penekanan oleh pihak bertanggungjawab.

"Kita faham mana-mana parti pun akan ada masalah tetapi perkara ini perlu diberikan perhatian dan penyelesaian oleh pihak bertanggungjawab," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau juga percaya setiap anggota parti mempunyai pemikiran yang matang selain bijak dalam menentukan kepimpinan parti terutama di peringkat pusat.

--BERNAMA