Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini memberi amaran kepada mana-mana pihak agar tidak memanipulasi pasukan keselamatan negara.

Kata beliau, pihaknya tidak akan berkompromi cubaan sesetengah pihak yang cuba menggunakan pendekatan psikologi ke atas pasukan keselamatan.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata demikian sebagai mengulas dakwaan wujud tohmahan bahawa pasukan keselamatan negara menyokong pihak pembangkang.

"Ada satu blog di laman sosial menunjukkan pada mengundi awal pada 3 Mei lalu, ada gambar dua anggota polis yang menunjukkan jari mereka yang mempunyai kesan dakwat hitam dan telah diviralkan konon menyokong parti lawan. Itu tidak berlaku.

"Mereka tetap sokong kerajaan kerana pasukan keselamatan adalah pasukan yang taat kepada kerajaan sedia ada," katanya ketika berucap merasmikan Majlis pecah tanah projek pembinaan kuarters kediaman dan dewan serbaguna Kem Batalion 10, Pasukan Gerakan Am Sibu.

Biarpun bebas untuk mempunyai pegangan politik sendiri namun tegas Ahmad Zahid pendirian pasukan keselamatan adalah berkhidmat untuk kerajaan sedia ada.

"Polis, tentera dan lain-lain pasukan beruniform mempunyai pendirian sendiri, mempunyai pegangan politik dan pandangan berbeza dan kita tidak ada paksaan dalam hal ini tetapi jangan cuba memainkan pendekatan terutamanya "reverse psychology" untuk mempengaruhi orang lain dan dalam keadaan ini jangan cuba manipulasi anak-anak buah saya terutama di Polis Diraja Malaysia (PDRM)."

"Mereka berkecuali dalam menyokong parti politik tetapi dalam hati dan minda mereka ada pendirian dan pendirian ini harus dihormati iaitu kesetiaan kepada kepimpinan pusat mahupun negeri," katanya.
Terdahulu, dalam majlis berkenaan Ahmad Zahid turut mengumumkan kelulusan peruntukan RM20 juta untuk pembinaan 60 unit kuarters baharu di PGA berkenaan.