Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, mengumumkan penerima Skim Kesihatan Atlet Kebangsaan bakal menerima rawatan setaraf kakitangan kerajaan.

Kabinet Malaysia bersetuju dengan cadangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bahawa nasib wira sukan negara perlu terus dibela.

Skim Kesihatan Atlet Kebangsaan akan membabitkan rawatan pesakit luar dan dalam hospital setaraf dengan kakitangan Kelas Dua kerajaan.

Namun, persoalannya adakah atlet yang hanya sekali mewakili negara atau mereka yang terpilih dalam skuad pelapis turut layak menerima skim itu dan Syed Saddiq menjelaskan: "Kabinet telah meluluskan dana tambahan untuk memastikan atlet dan bakal atlet yang berdaftar dengan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) akan diberikan skim kesihatan khas.

"Bagi bekas atlet, mereka akan menerima perkhidmatan kesihatan khas seperti pegawai awam kelas B. Sebelum ini tiada, tetapi Kabinet memutuskan mereka berhak menerima pengiktirafan tersebut."

Setakat ini, YAKEB menawarkan skim bantuan khas kepada 3,000 bekas atlet negara.

Turut diluluskan adalah kenaikan elaun latihan atlet di mana jumlah minimum melibatkan RM800 hingga RM7,500.