Atlet ski Korea Selatan memulakan protes lima hari di luar Stadium Olimpik Pyeongchang pada Ahad selepas mereka digugurkan daripada skuad kebangsaan negara itu secara tiba-tiba.

Tindakan itu nyata menimbulkan kemarahan mereka yang telahpun diberi pakaian rasmi untuk menyertai temasya sukan itu yang dijadual berlangsung tidak lama lagi.

Menurut laporan awal media tempatan, pengguguran itu disebabkan masalah kuota atlet yang dikatakan sudah melebihi daripada yang sepatutnya.

Rata-rata atlet nyata kesal dengan tindakan tersebut yang memusnahkan peluang seumur hidup mereka untuk beraksi pada temasya itu di laman sendiri.

Menurut mereka, Persatuan Ski Korea (KSA) hanya mengumumkan minggu lepas bahawa hanya empat pemain Ski Alpine dipilih untuk bertanding berbanding sembilan atlet sebelum ini.

Para atlet menolak alasan KSA yang menyalahkan kuota yang ditetapkan dan menyifatkan pengguguran itu yang dibuat beberapa hari sebelum tirai kejohanan bermula adalah tindakan yang kejam.

Mereka juga mengesyaki terdapat kekeliruan atau salah faham di antara Persekutuan Ski Antarabangsa (FIS) dan KSA terhadap pertikaian kuota dan menuntut jawapan yang lebih konkrit daripada kedua-duanya.

Mereka juga berharap kerajaan Korea Selatan campur tangan dalam masalah ini untuk membolehkan mereka kembali tersenarai.