Seramai 51,000 pelatih Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) di negara ini diharap dapat menyaingi atau mempunyai bakat setaraf pemain di dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, harapan itu dilihat bakal tercapai dalam masa lima sehingga 10 tahun lagi dengan pelan dan mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan.

"Pada hemat saya, lonjakan ataupun kemerosotan bola sepak ini bukan berlaku kepada negara tertentu sahaja. Kadang-kadang ia berlaku di peringkat rantauan.

"Sebab itulah ketika negara kita gemilang pada awal 70-an dan 80-an, sewaktu itu juga negara seperti Thailand, Myanmar merupakan gergasi dan juga negara-negara yang digeruni dalam sukan bola sepak di peringkat Asia.

"Demikian juga bila berlaku lonjakan, contohnya bila berlaku lonjakan di Korea, ia berlaku juga lonjakan di peringkat rantauan iaitu Jepun dan juga Korea Utara," katanya ketika menghubungi Astro AWANI.

Reezal mengulas kenyataan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan yang membayangkan kejayaan PPBN yang membawa bola sepak negara di satu tahap yang lebih tinggi di mata dunia.

Saravanan turut memberitahu, PPBN akan menjadi penyelesai isu kemerosotan sukan bola sepak negara yang berpunca daripada pelbagai masalah dalaman.

PPBN dilancarkan pada 10 April tahun lepas oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Antara teras utama penubuhannya adalah untuk meningkatkan kualiti bola sepak negara dan memfokuskan kejayaan serta paksi pembangunan bola sepak negara.

EPL merupakan liga yang disertai 20 kelab bertaraf dunia dan dibarisi pemain-pemain ternama bertaraf bintang.

Ia merupakan liga paling popular di dunia yang melihatkan beberapa kelab seperti Mancheter United, Chelsea, Liverpool dan beberapa kelab ternama lain bersaing sesama mereka untuk mendapatkan kejuaraan.

Dalam pada itu, kata Reezal, kewujudan PPBN merupakan inisiatif negara yang harus diberi rangka dalam pelan pembangunan yang lebih realistik dalam mencapai impian bersaing di kejohanan Piala Dunia.

"Dalam erti kata bila mana kita menjadi Pengerusi ASEAN ini, mungkin selain daripada kita wujudkan ASEAN business community, mungkin kita boleh menjadikan ASEAN ini juga sebagai salah satu daripada ASEAN Football Community.

"Sekali gus ia juga menjadikan hasrat untuk melihat negara ASEAN untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia 2034 sebagaimana yang disebut-sebut satu realiti," jelasnya.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya menyasarkan untuk melahirkan 2,472 jurulatih di dalam PPBN menjelang 2020 dalam usaha mengembalikan kegemilangan bola sepak Malaysia.

Jelasnya, bagi membangunkan industri bola sepak negara kita memerlukan jurulatih yang bertauliah supaya mereka dapat memberi tunjuk ajar kepada pemain mengikut teknik yang betul.

Tambah Khairy, jurulatih akan diberikan pendedahan dengan dihantar ke Akademi Bola Sepak Queens Park Rangers dan Bayern Munich untuk melihat sendiri cara bagaimana jurulatih dari luar negara mengendalikan pasukan mereka.