KETUA jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail, percaya keazaman untuk mencatat kemenangan kali pertama di tempat sendiri menjadi motivasi terbaik buat pemain-pemainnya bagi menghadapi T-Team dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Mohammed Ke-IV, malam ini.

“Kami tewas tiga kali berturut-turut di gelanggang sendiri dan jelas ini satu pengalaman yang pahit untuk dikenang. Kemudian, kami bangkit dengan menewaskan Perak di Ipoh dan saya yakin itu menjadi motivasi terbaik kepada pemain untuk mencipta kemenangan pertama di stadium keramat ini.

“Satu perlawanan yang menarik dan sukar sebenarnya menentang T-Team kerana mereka memiliki barisan pemain muda yang berbakat. Kami akan terus berjuang untuk memburu tiga mata penuh,” katanya.

Zahasmi juga percaya keyakinan pemain The Red Warriors semakin meningkat dan bersedia untuk menghadapi dua tekanan utama malam ini.

“Sudah pasti tekanan daripada pasukan lawan (T-Team) yang inginkan kemenangan bagi mengukuhkan kedudukan mereka dalam carta liga dan juga tekanan daripada penyokong sendiri yang mahukan TRW mencipta kemenangan pertama di Kota Bharu.

“Saya harap penyokong dapat turun beramai-ramai memberi sokongan padu kepada pemain TRW dan insya-Allah kami akan beraksi lebih baik untuk mencari tiga mata penuh,” katanya.

Ditanya peluang penyerang import, Alessandro Padovani Celin, untuk diturunkan malam ini, Zahasmi menjelaskan pemain itu masih belum pulih sepenuhnya.

“Kita tengok macam mana prestasi Celin sama ada boleh diturunkan atau tidak. Kehadiran penyerang import amat penting untuk pasukan dari segi psikologi berdepan pasukan lawan.

“Namun, kami tetap mengharapkan penyerang utama, Muhammad Ghaddar, terus mempamerkan aksi hebat di depan gawang lawan,” katanya.

Kelantan turun dengan misi untuk mencari kemenangan pertama di Stadium Sultan Mohammed Ke-IV selepas tewas tiga kali berturut-turut di gelanggang keramat ini.

Kemenangan akan membolehkan Kelantan terus melonjak dalam carta Liga Super dengan 12 mata daripada tujuh perlawanan.