BINTANG Real Madrid Cristiano Ronaldo digantung lima perlawanan setelah dibuang padang pada perlawanan akhir Supercopa de Espana menentang Barcelona pagi semalam.

Bukan itu sahaja, kapten pasukan kebangsaan Portugal itu turut dihukum kerana menolak pengadil selepas dilayangkan kad merah susulan dua kad kuning pada perlawanan yang dimenangi Real dengan 3-1.

Ronaldo mendapat kad kuning pertama kerana membuka baju ketika meraikan jaringannya pada minit ke-80.

Dua minit kemudian, dia terjatuh di dalam kontrak penalti sehingga dilayangkan kad kuning kedua kerana didakwa sengaja merebahkan badan.

Namun Ronaldo membenarkan kemarahan menguasainya apabila menolak pengadil, Ricardo de Burgos.

Penggantungan ini bermakna Ronaldo hanya akan beraksi pada 20 September dalam perlawanan menentang Real Betis.

Ketua pasukan Portugal berusia 32 tahun itu berdepan penggantungan maksimum sebanyak 12 perlawanan, namun Persekutuan Bola Sepak Sepanyol (RFEF) memilih untuk mengenakan hukuman lima perlawanan.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh badan induk itu malam tadi, hukuman satu perlawanan dikenakan kerana kad merah dan empat lagi adalah disebabkan kelakukannya terhadap De Burgos.

RFEF turut mendenda Ronaldo €3850 (RM19,483) dan kelabnya €1750 (RM8,856).

Ronaldo dan Madrid mempunyai tempoh 10 hari untuk mengemukakan rayuan.

Andai penggantungan itu kekal, dia akan terlepas aksi kedua Supercopa selain pertemuan LaLiga dengan Deportivo La Coruna di tempat lawan, Valencia dan Levante (Santiago Bernabeu) serta kunjungan ke Real Sociedead.

Insiden kad merah dalam penampilan singkat aksi Supercopa itu mencetuskan sensasi tatkala Ronaldo kini masih disiasat oleh pihak berkuasa Sepanyol susulan kes penipuan cukai.