BARCELONA: Sekali lagi Barcelona, Sepanyol menjadi tumpuan lebih 100,000 peneraju industri global, penggerak teknologi dan orang ramai untuk berkumpul dan menyaksikan inovasi terkini dalam ketersambungan mudah alih pada Mobile World Congress (MWC) atau Kongres Dunia Mudah Alih 2024 di Fira Gran Via.

Barcelona akan menyaksikan ratusan perbincangan, rangkaian, forum dan demonstrasi untuk mereka yang terlibat dalam teknologi mudah alih pada MWC 2024 selama empat hari yang dianjurkan oleh Groupe Speciale Mobile Association (GSMA) yang akan berlangsung dari 26 hingga 29 Feb ini.

Acara terbesar dan paling berpengaruh untuk ekosistem ketersambungan itu juga akan mengumpulkan ribuan eksekutif kanan daripada syarikat global terkemuka, kerajaan dan perniagaan teknologi untuk membuat keputusan dalam bidang teknologi.

Menurut GSMA, acara bertemakan Future First, dibentuk oleh enam subtema yang mencerminkan teknologi terkini iaitu 5G and Beyond, Connecting Everything, Humanising Artificial Intelligence (AI), Manufacturing DX, Game Changers dan Our Digital DNA.

Edisi MWC Barcelona tahun ini menurutnya, menandakan 18 tahun organisasi global membawa acara perdana itu ke bandar Barcelona.

GSMA turut memaklumkan dua penceramah baharu akan menyertai acara tahun ini iaitu Pengerusi Bersama Lembaga Penasihat AI (Kecerdasan Buatan) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Carme Artigas dan pemenang Hadiah Nobel dalam Fizik 2010 Konstantin Sergeevich Novoselov.

Selain itu, makanan autentik, ruang hiburan, pengalaman budaya untuk pengunjung juga akan menyerikan lagi MWC 2024.

Dilaporkan bahawa Malaysia turut mewujudkan "Malaysian Pavilion" pada MWC 2024 dan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dijangka berkongsi kejayaan negara dalam menerajui pelaksanaan rangkaian 5G dalam ucaptama beliau.

Penceramah Malaysia termasuk Ketua Pegawai Teknologi dan Inovasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Shamsul Izhan Abdul Majid, Penjaga Penyelesaian Teknikal Kumpulan Petronas (Ketua Instrumen dan Kawalan) Mohd Faizal Ghazali dan pensyarah Universiti Multimedia Dr Bahma Sivasubramaniam juga akan berkongsi idea di pentas global itu.

GSMA ialah organisasi global yang menyatukan ekosistem mudah alih untuk menemukan, membangunkan dan menyampaikan inovasi asas kepada persekitaran perniagaan yang positif dan perubahan masyarakat.

-- BERNAMA