Penunggang Itali, Andrea Dovizioso meraih petak pertama untuk kali kedua musim ini selepas mencatat masa terpantas pada sesi kelayakan MotoGP di Grand Prix Motosikal Malaysia, di sini hari ini.

Dovizioso, 30, mencatat dua minit 11.485 saat dalam keadaan lembap di Litar Antarabangsa Sepang, di hadapan dua penunggang Movistar Yamaha MotoGP, Valentino Rossi dari Itali dan pelumba Sepanyol, Jorge Lorenzo, yang masing-masing mendapat petak kedua dan ketiga dengan catatan 2:11.731s dan 2:11.787s.

Juara dunia, Marc Marquez dari Sepanyol yang mewakili Repsol Honda Team akan bermula di petak keempat untuk perlumbaan esok selepas mencatat 2:11.874s.

Sebagai rekod, Dovizioso meraih petak pertamanya dalam perlumbaan pusingan kelapan Kejohanan MotoGP Dunia di Litar Assen, Belanda pada Jun lepas.

Dovizioso gembira dengan strategi pasukannya menukar tayar belakang berjalan lancar dan berharap akan mendapat keputusan yang lebih baik dalam perlumbaan esok.

"Keadaan litar agak sukar diramal tetapi saya gembira mendapat petak pertama.

"Selepas satu pusingan, saya memutuskan kembali ke paddock untuk menukar tayar belakang dari jenis lembut kepada keras kerana agak bergelut dengan tayar lembut di litar...ia jelas banyak membantu saya," kata Dovizioso.

Rossi juga gembira dapat melakukan catatan kedua terbaik selepas memperbaiki masanya berbanding ketika sesi latihan bebas 4 yang beliau sekadar mencatat 2:12.602s.

"Catatan kedua terbaik adalah cukup baik untuk saya berbanding sesi latihan bebas 4 selepas kru teknikal melakukan perubahan besar pada pelarasan enjin," kata juara dunia sembilan kali MotoGP itu. -- BERNAMA