Belum ada keputusan daripada Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) berkenaan bantahan rasmi Malaysia mengenai isu penyokong Indonesia menghina pasukan negara pada Kejuaraan AFF Bawah 16 Tahun (B-16) di Surabaya, Indonesia 30 Julai lepas.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata bantahan rasmi FAM mengenai perkara berkenaan telah disuarakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kepada AFF, namun ia masih disiasat AFF.

"Maklum balas akan diberikan kepada FAM (mengenai bantahan) dan disalurkan kemudian kepada kementerian.

"Bab bola sepak kalau ada bantahan rasmi perlu diketengahkan persatuan sendiri, dari segi kementerian, kami dah sarankan FAM untuk bertegas supaya bantahan rasmi dilakukan," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) yang ingin tahu status terkini mengenai bantahan berkenaan.