Malaysia sudah sah tidak mempunyai peluang untuk mempertahankan Piala Sultan Johor apabila kalah 2-0 kepada Pakistan pada Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 Tahun di Stadium Hoki Taman Daya pada Khamis.

Kekalahan Skuad Projek 2013 kendalian jurulatih Muhammad Dharma Raj Abdullah itu merupakan ketiga berturut-turut selepas tumpas 5-2 kepada New Zealand dan 3-2 kepada naib juara Australia.

Lebih memalukan apabila Malaysia tercorot dalam kedudukan enam pasukan bertanding pada edisi kedua kejohanan antarabangsa itu.

Malaysia hanya menang perlawanan pembukaan dengan mengalahkan Jerman 3-2 pada Ahad lepas. Skuad negara akan melengkapkan jadual pertandingan dengan menentang India pada Sabtu ini.

Pakistan pula mencapai kemenangan pertama dalam empat perlawanan dengan Muhammad Dilber membuka tirai jaringan pada minit ke-20 sebelum menambah gol kedua pada babak kedua menerusi Muhammad Irfan pada minit ke-39.