LEONARDO BONUCCI percaya Juventus telah membuktikan kehebatan mereka dengan mengetepikan Barcelona di suku akhir Liga Juara-Juara selepas mencipta kemenangan 3-0 secara agregat, awal pagi tadi.

Pendahulu Serie A itu menjadi pasukan pilihan untuk mara selepas memenangi perlawanan pertama 3-0 dan berjaya mengekang skuad Catalans seri tanpa jaringan di Camp Nou untuk layak ke separuh akhir.

Keputusan itu turut menamatkan rentetan 15 kemenangan Barca di laman sendiri dalam saingan Eropah sejak diterajui Luis Enrique.

Tonggak pertahanan Itali itu percaya dua kejayaan mengelak daripada dibolosi oleh jentera serangan Barca yang diterajui Lionel Messi, Neymar dan Luis Suarez membuktikan kekuatan Juve setelah tunduk kepada lawan yang sama dalam perlawanan akhir musim 2014-15.

"Kami sedar mereka menyerang dengan mengambil risiko di bahagian pertahanan, namun kami melaksanakan tugas dengan baik apabila kekal bersatu dan memadatkan bahagian benteng, terima kasih kepada Dani Alves dan Mario Mandzukic kerana memeri tekanan kepada pertahanan mereka," ujar Bonucci kepada Mediaset Premium.

"Ia adalah prestasi hebat menerusi kerjasama dan keampuhan benteng. Kami mempercayai keupayaan sendiri kerana dapat menjaringkan tiga gol ke atas Barcelona, kemudian tidak dibolosi di Camp Nou membuktikan bahawa kami adalah sebuah pasukan yang hebat. Sekarang, tinggal dua langkah lagi untuk dilepasi.

"Kami perlu melakukannya lebih baik lagi apabila melancarkan serangan balas. Namun, kami masih mencipta beberapa peluang dan adalah sukar untuk menggunakan pendekatan lain. Kami hanya gagal untuk menyudahkan peluang terhidang."

Bonucci yang bertukar jersi dengan Messi sebaik wisel penamat ditiupkan berjaya merantai pemain handalan Argentina itu serta menegaskan Juve adalah pasukan yang mahu dielakkan mana-mana pasukan dalam undian separuh akhir.

"Saya gembira untuk memiliki jersi pemain terbaik di dunia, ia adalah kenangan hebat dalam koleksi peribadi saya," kata Bonucci. "Anak saya akan berasa sangat gembira, walaupun dia mungkin lebih gembira dengan jersi (penyerang Torino) Andrea Belotti!

"Saya fikir ia bukan soal siapa yang kami tidak mahu hadapi, tetapi hakikatnya ketiga-tiga pencabar lain mahu mengelak kami.

"Juventus membangkitkan kegerunan pasukan lain dan kami telah membuktikannya untuk mencapai objektif kami bermain dalam perlawanan akhir di Cardiff.