Juara Liga Super sebanyak tiga kali, Kedah berjaya bangkit dari ketinggalan untuk mengikat juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) 1-1 Stadium Darul Aman, Alor Setar pada malam ini.

Skuad Harimau Selatan terlebih dahulu membuka jaringan menerusi sepakan percuma penyerang prolifiknya, Muhammad Safawi Rasid pada minit kesembilan, namun Kedah berjaya menyamakan kedudukan menerusi tandukan pemain import dari Sepanyol, Fernando Rodriguez Ortega pada minit ke-29.

Dengan keputusan malam ini, JDT yang merupakan juara lima kali berturut-turut Liga Super, berada di persada carta dengan 17 mata daripada tujuh perlawanan, manakala skuad Lang Merah berada di tempat ketiga dengan 12 mata.

Pahang yang menduduki tempat kedua dengan 14 mata, berpeluang untuk merampas kedudukan teratas jika menang dan memperoleh perbezaan jaringan yang besar apabila bertemu Felda United FC di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka pada malam esok.

Di Stadium Hang Jebat, pasukan Melaka gagal menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila terikat tanpa jaringan menentang Perak.

Selangor pula berjaya mencatatkan kemenangan kedua bagi musim ini apabila menang tipis 1-0 ke atas Terengganu FC hasil jaringan penyerang licik, Mohd Faiz Mohd Nasir pada minit ke-55 di Stadium Shah Alam.

Sementara itu, pada aksi Liga Premier, Negeri Sembilan turut meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM FC) menerusi jaringan tunggal Mohamad Ridzuan Abdollah Pula pada minit ke-31 di Stadium Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, pasukan Kelantan dan Terengganu FC II berkongsi satu mata selepas terikat 1-1.

Pemain import dari Uruguay, Raul Andres Tarragona terlebih dahulu meletakkan skuad 'The Red Warriors' di hadapan menerusi jaringan pada minit ke-19, namun ia hanya kekal tiga minit apabila Muhammad Zuasyraf Zulkiefee meledak gol pada minit ke-22.

-- BERNAMA