PENGARAH Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Morten Frost tidak mahu lihat Datuk Lee Chong Wei beraksi bawah tekanan tambahan di Terbuka India setelah gagal mempamerkan aksi memberangsangkan di Seluruh England baru-baru ini.

Bukan sahaja gagal untuk memenuhi kemahuan peribadi dan skuad negara untuk muncul juara di Birmingham malah Chong Wei tersingkir di pusingan pertama.

Kerana itu, Frost berasakan penampilan Chong Wei di Terbuka India perlu bebas daripada sebarang tuntutan untuk dia mengungguli aksi di New Delhi.

"Atlet bukan robot. Tugas kami bukan sekadar putar skru dan menekan butang sehingga prestasi pemain itu akan menjadi sempurna.

"Manusia boleh jadi positif dan negatif. Atlet-atlet kami boleh membuat persiapan yang sangat hebat sehingga tidak dapat tidur sehari sebelum perlawanan dan kemudian, tidak dapat pamerkan aksi terbaik.

“Jadi apa-apa boleh terjadi pada hari perlawanan," kata Frost.

Frost juga bependapat sebarang keputusan di New Delhi sama ada positif atau sebaliknya tidak wajar dijadikan penanda aras buat kemampuan Chong Wei di Rio nanti.

Chong Wei akan berdepan misi memenangi Siri Super Premier Terbuka Malaysia buat kali ke-11 sebelum melengkapkan kempen kelayakan ke Olimpik Rio di Kejohanan Badminton Asia di Wuhan , China hujung April ini.

"Kami tidak boleh mengharapkan Chong Wei mempamerkan aksi yang sama pada setiap perlawanan kerana situasi itu sentiasa berubah pada setiap kejohanan.

"Itu adalah cabaran terbesar buat barisan pemain dan jurulatih kami," tambahnya.