Lima calon atlet telah disenarai pendek untuk dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang pada temasya Sukan SEA ke-28 di Singapura, Jun ini, kata Ketua Kontinjen Negara, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

Beliau berkata calon berkenaan yang dikenal pasti oleh Sekretariat Sukan SEA itu berdasarkan pencapaian cemerlang mereka di Sukan SEA sebelum ini serta menunjukkan prestasi baik ketika ini.

Senarai ini akan dikemukakan pada mesyuarat Malaysia Olimpik Malaysia (MOM) untuk kelulusan sebelum pengumuman dibuat dalam masa terdekat, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat kedua pengurus pasukan Sukan SEA, di sini pada Rabu.

Beliau berkata pihak Sekretariat Sukan SEA akan menyediakan borang kepada persatuan sukan untuk menetapkan sasaran pingat masing-masing sebelum 16 Mac ini dan menghantar senarai muktamad atlet dan pegawai selewat-lewatnya 15 Mac ini.

Setakat ini jumlah anggota kontinjen negara ke Sukan SEA Singapura ialah sebanyak 861 orang iaitu 655 atlet dan 206 pegawai.

Selain itu, Norza berkata pihak sekretariat akan mewujudkan portal khas untuk memantau perkembangan semasa persiapan kontinjen dan semua persatuan sukan terlibat perlu memasukkan data maklumat yang diperlukan.

Norza berkata, selaku ketua kontinjen, beliau tidak akan mengadakan lawatan semasa atlet menjalankan latihan sebaliknya akan mengadakan pertemuan dengan persatuan sukan untuk mengetahui perkembangan dan perancangan masing-masing.

Beliau berkata kem latihan pusat akhir kontinjen negara akan diadakan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor pada 28 hingga 30 Mei depan sebelum temasya Sukan SEA berlangsung dari 5 hingga 16 Jun ini.

Beliau berkata pihak sekretariat sedang berusaha mendapatkan kebenaran Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Singapura (SINGSOC) untuk membolehkan atlet acara sukan yang lambat bermula menjalani latihan awal di negara itu.