SEPANJANG musim 2015, dianggarkan sejumlah RM500,000 terpaksa dibayar oleh setiap ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) gara-gara kekacauan penyokong.

Angka itu dijangka terus meningkat andai penyokong terus bersikap tidak matang.

Musim lalu, persatuan bola sepak negeri dan kelab terpaksa mengeluarkan kos yang sepatutnya boleh dielakkan, gara-gara tingkah laku penyokong.

Sememangnya sukar untuk mengawal tindakan puluhan ribu penyokong ke stadium kerana bola sepak Malaysia memiliki jumlah pengikut yang ramai di setiap negeri.

Johor Darul Takzim (JDT) dan Kelantan umpamanya berada dalam kelompok lima kelab memiliki penyokong paling ramai di Asia Tenggara. Jadi, penyelesaian terbaik ialah setiap individu mengawal diri sendiri.

"Kalah atau menang, kita sentiasa sokong. Sebagai seorang pemain, saya sentiasa mahu berikan aksi terbaik supaya penyokong terhibur ketika menonton perlawnan kami," kata pemain tengah Selangor, Nazmi Faiz Mansor.

Tindakan FAM mendenda persatuan negeri juga tidak berkesan.

Malah, ia dilihat salah satu cabang pendapatan FAM sebelum badan induk itu juga pernah didenda ekoran masalah penyokong.

Tidak salah jadi fanatik, tetapi untuk mengawal diri, mereka boleh belajar daripada seorang penyokong legenda yang sudah menyokong sukan Malaysia sejak 29 tahun lalu.

"Kami mempunyai semangat dan disiplin yang kuat jadi apabila pasukan kami tengah kalah, Kami sentiasa beri sokongan penuh dengan harapan ia menjadi satu suntikan semangat.

"Mungkin mereka tewas hari ini kerana tidak ada nasib, kami perlu percaya mereka akan menang esok," kata Mansor Abd Khoni daripada Kelab Penyokong Sukan Malaysia (FAMEMAS).

Penyokong bola sepak Malaysia perlu menjaga disiplin mereka kerana kesitimewaan ini tidak dapat dirasai oleh atlet sukan lain.

"Semestinya kami memang memerlukan sokongan peminat dan orang awam tetapi keutamaan mereka haruslah menjaga disiplin dan keselamatan diri sendiri," kata Muhammad Irfan Shamsuddin, atlit lempar cakera negara

"Saya sebagai atlet profesional sentiasa hormat pihak lawan saya. Jadi, bukan sahaja atlet malah para penyokong juga perlu ada semangat untuk berjuang," kata ratu terjun negara, Pandelela Rinong.

Antara pasukan yang dikenakan hukuman dalam saingan Liga Malaysia bagi musim lalu atas kesalahan membabitkan disiplin penyokong termasuk juara Liga Super JDT, juara Piala Malaysia Selangor, Perak, Kedah dan Terengganu.

Kesalahan membabitkan pelanggaran tatatertib adalah seperti menceroboh masuk ke dalam padang, membahayakan keselamatan penyokong lain dan pemain serta membakar suar.