Menjelang perlawanan kedua play-off kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia China 2023 antara Malaysia dan Timor Leste malam ini, beberapa pemain Harimau Malaya yang sudah beraksi tempoh hari bakal direhatkan.

Bagaimanapun, jurulatih Tan Cheng Ho hanya akan umumkan senarai akhir pemain beberapa jam sebelum perlawanan.

“Kami dalam kalangan barisan jurulatih akan memberi peluang kepada pemain yang belum beraksi.

“Besar kemungkinan untuk merehatkan antara dua atau tiga pemain yang bermain tempoh hari kerana mereka keletihan, dan ia masih dalam perbincangan.

“Kami hanya akan mengumumkan pertukaran beberapa jam sebelum turut perlawanan malam ini untuk memastikan semua pemain bersiap sedia untuk turun padang malam ini,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Selasa.



BACA: Play-off kelayakan Piala Dunia: Harimau Malaya garang di Bukit Jalil

Pada masa sama, Cheng Ho akui beraksi di laman sendiri memberi kelebihan buat skuad negara meraih kemenangan kedua malam ini.

“Bermain di laman sendiri sememangnya satu kelebihan malam ini. Walaupun mereka sudah biasa bermain di Stadium Bukit Jalil, tetapi mereka perlu ambil peluang ini dengan beraksi sebaik mungkin.

“Apa yang penting ketika ini, fokus terhadap skuad sendiri berbanding skuad lawan yang kini dilaporkan ada krisis dalaman.

“Skuad negara perlu ambil serius permainan malam ini dan tidak memandang rendah kerana ia mungkin akan membawa padah walaupun sudah menang besar tempoh hari,” jelasnya.

Sementara itu, Cheng Hoe turut mengharapkan penyokong Harimau Malaya dapat membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini bagi memberi sokongan kepada anak buahnya.