LEGENDA Itali, Gianluigi Buffon, keluar daripada persaraan selepas mengesahkan dirinya bersedia untuk aksi persahabatan antarabangsa menentang Argentina dan England bulan depan.

Pemain veteran Juventus, Buffon, 40, mengumumkan persaraan di pentas antarabangsa selepas Itali gagal melayakkan diri ke Piala Dunia di Russia tahun ini berikutan kekalahan mengejut kepada Sweden, November lalu.

Jurulatih sementara Itali, Luigi Biagio, berkata dia menjangkakan pemegang rekod penampilan kebangsaan paling banyak itu akan kembali bulan depan apabila skuad Azzurri menghadapi Argentina di Manchester pada 23 Mac sebelum bertemu England di Wembley empat hari kemudian.

Dan Buffon mengesahkan rancangannya untuk membantu pasukan kebangsaan yang gagal melayakkan diri buat kali pertama dalam Piala Dunia sejak 1958.

"Saya berasa bertanggungjawab pada masa peralihan untuk pasukan kebangsaan kami," kata Buffon kepada 'Tiki Taka' dalam Italia 1.

"Akan ada dua perlawanan persahabatan yang penting. Saya fikir hampir mahu bercuti bersama keluarga, tetapi jika pasukan kebangsaan memerlukan saya, saya perlu menjawab bahawa saya sudah bersedia dan saya tidak boleh abaikan.

"Saya melakukan ini untuk kesetiaan dan tanggungjawab tanpa berfikir tentang masa depan saya.

"Pemain-pemain yang berpengalaman pada masa ini mungkin berguna membantu menentang Argentina dan England," katanya.

Buffon telah membuat 13 penampilan Serie A untuk juara bertahan, Juve, musim ini dan 20 penampilan dalam semua pertandingan.