Seorang atlet angkat berat didapati positif menggunakan bahan terlarang dalam saringan ujian anti doping bersempena Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018.

Tanpa mendedahkan nama atlet dan negeri yang diwakili, Presiden Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat berkata badang itu didapati gagal dalam ujian yang dijalankan dengan kerjasama PABM, Agensi Anti Doping Malaysia, Kementerian Belia dan Sukan serta Majlis Sukan Negara.

"Dukacita dimaklumkan bahawa seorang atlet angkat berat yang telah menjalani saringan tersebut telah didapati positif doping dan dilarang untuk menyertai Sukma kali ini. Atlet tersebut akan menjalani perbicaraan dalaman-tindakan tatatertib yang akan diadakan kemudian.

"PABM mengambil serius isu doping ini demi menjaga nama baik dan keunggulan sukan angkat berat negara ini. Semoga semua atlet yang mengambil bahagian terutamanya pada Sukma kali ini dapat menunjukkan aksi yang terbaik dan bersaing untuk mendapatkan pingat serta pengalaman pada sukan terbesar di negara ini," katanya menerusi kenyataan di sini.

Beliau berkata seramai 165 atlet angkat berat daripada 14 pasukan selesai menjalani saringan tersebut dan hanya atlet yang lulus saringan dibenarkan beraksi pada Sukma kali ini.

PABM juga meneruskan keputusan untuk tidak membenarkan atletnya mengambil bahagian dalam mana-mana kejohanan antarabangsa selama setahun termasuk Sukan Asia Jakarta-Palembang baru-baru ini.

Edisi ke-19 Sukma akan berlangsung secara rasmi dari 12 hingga 22 Sept ini, menawarkan 427 pingat emas melibatkan 29 jenis sukan dan 39 venue di kesemua 12 daerah di Perak.

-- BERNAMA